- Iklan -
Berita

Putrajaya pandang serius ancaman Israel mahu ‘lancar serangan ke atas Malaysia’

Malaysia tingkatkan kawalan keselamatan ketika Israel mahu sasarkan musuhnya di luar negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Warga Palestin mengangkat bendera Malaysia ketika protes di Baitulmaqdis. Malaysia memiliki hubungan istimewa dengan Palestin sejak awal perjuangannya menuntut haknya sebagai negara merdeka. Gambar: AFP
Warga Palestin mengangkat bendera Malaysia ketika protes di Baitulmaqdis. Malaysia memiliki hubungan istimewa dengan Palestin sejak awal perjuangannya menuntut haknya sebagai negara merdeka. Gambar: AFP

Malaysia memandang serius sebarang ancaman terhadap pegawai-pegawai Hamas warga Palestin yang tinggal di Malaysia susulan kebimbangan berhubung beberapa laporan mengenai ancaman Israel yang akan melancarkan serangan terhadap musuh-musuhnya di luar negara seperti yang pernah dilakukan ejen Mossad terhadap seorang jurutera Palestin di Kuala Lumpur tiga tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin bagaimanapun menggesa orang ramai untuk kekal bertenang dengan jaminan bahawa situasi keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik.

“Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi-agensi keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di dalam negara,” katanya dalam sebuah kenyataan malam ini susulan perkara itu dibangkitkan MalaysiaNow berhubung beberapa klip dalam talian yang memetik perisikan ketenteraan Israel.

Dalam sebuah klip yang dimuat naik di YouTube ia mendakwa Israel akan menjalankan serangan terhadap “gerakan keganasan di seluruh dunia”.

“Kepimpinan Israel telah mengarahkan pasukan perisikan Shin Bet dan Mossad untuk menghapuskan pegawai-pegawai tertinggi Hamas di dalam dan luar negara,” kata laporan yang memetik televisyen Israel yang menyebut beberapa negara termasuk Malaysia, Iran, Turki dan Qatar yang didakwa “menempatkan, memberi bantuan kewangan dan melatih pegawai-pegawai Hamas”.

Pada 2018, seorang jurutera elektrik yang juga merupakan anggota Hamas Fadi al-Batsh telah ditembak di sebuah jalan raya di Kuala Lumpur oleh dua orang lelaki yang dipercayai pembunuh upahan pasukan perisikan Israel.

Malaysia memiliki hubungan baik dengan Hamas, yang merupakan pihak berkuasa di Semenanjung Gaza, ia juga dilihat sebagai kumpulan pejuang utama popular di sebalik perjuangan Palestin.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini turut berhubung dengan ketua Hamas Ismail Haniyeh, yang mengemaskini situasi semasa di Palestin.

“Saya menzahirkan ucapan takziah dan dukacita bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan nyawa serta kecederaan yang dialami rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Israel,” kata Muhyiddin dalam sebuah kenyataan di Facebook rasminya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.