- Iklan -
Berita

Sri Ram akan jawab Rosmah berhubung permohonan gugur beliau dari pendakwaan

Perkara itu dimaklumkan timbalan pendakwa raya Mohamad Mustafa P Kunyalam semasa pengurusan kes di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor sedang berusaha untuk dibebaskan daripada kesemua tiga pertuduhan dan  sekali lagi memohon Sri Ram (gambar) digugurkan daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraannya. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor sedang berusaha untuk dibebaskan daripada kesemua tiga pertuduhan dan sekali lagi memohon Sri Ram (gambar) digugurkan daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraannya. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram akan berhujah bagi pihak diri sendiri pada prosiding permohonan Rosmah Mansor untuk menggugurkannya sebagai ketua pendakwaan dalam kes rasuah Rosmah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Perkara itu dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya (TPR) Mohamad Mustafa P Kunyalam semasa pengurusan kes di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Yang Arif, sendiri akan mengetuai hujahan kerana beliau berkata kes ini melibatkannya secara peribadi, justeru beliau akan datang dan berhujah, itulah arahan kepada saya,” katanya.

Peguam Jagjit Singh yang mengetuai pasukan mewakili Rosmah, bangun dan membantah, menyatakan Sri Ram tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk berbuat demikian.

“Sri Ram tidak boleh berhujah dalam kes melibatkan beliau sendiri, kerana isu ini menyentuh dirinya. Ia menjadi satu persendaan. Ini sangat tidak wajar, apatah lagi datang daripada seorang bekas hakim, beliau seharusnya lebih maklum akan hal ini,” kata Jagjit.

Mohamad Mustafa seterusnya mengemukakan kes Anwar Ibrahim sebagai contoh yang mana pelantikan Muhammad Shafee Abdullah sebagai TPR turut dicabar, dan beliau sendiri tampil berhujah mempertahankan pelantikannya itu.

“Kami berpandukan ke Anwar Ibrahim, yang mana Muhammad Shafee diminta digugurkan, beliau berhujah sendiri, tidak ada masalah dan kes diputuskan oleh hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Seorang lagi peguam mewakili Rosmah, Akberdin Abdul Kadir membalas bahawa tidak ada masalah tentang fiat dalam pelantikan Muhammad Shafee sebagai TPR.

“Namun dalam kes ini, fiat (pelantikan Sri Ram) dicabar. Beliau tidak mempunyai locus standi dalam isu ini,” kata peguam itu.

Muhammad Shafee yang merupakan seorang peguam kanan, dilantik oleh Peguam Negara secara fiat (autoriti beliau) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Acara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengendalikan rayuan dalam kes Anwar.

Mohamed Zaini kemudian meminta kedua-dua pihak menyelesaikan isu berbangkit sebelum pendengaran permohonan tersebut.

“Saya tidak mahu sebarang isu teknikal dibangkitkan semasa pendengaran,” kata hakim yang kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk mendengar permohonan Rosmah itu.

Khamis lepas, Rosmah, 69, memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan beliau dalam usahanya untuk dibebaskan daripada kesemua tiga pertuduhan serta sekali lagi memohon Sri Ram digugurkan daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraannya.

Permohonan itu difailkan selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuan Rosmah bagi mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram, setelah pendakwaan bersetuju menyerahkan salinan surat itu kepada pasukan pembelaan.

Rosmah memfailkan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lalu menolak permohonannya bagi mendapatkan surat pelantikan Sri Ram.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu hari Rosmah didakwa di mahkamah serta tidak ditandatangani oleh Tommy Thomas selaku peguam negara pada masa itu. Sebaliknya, surat berkenaan bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Idrus Harun iaitu peguam negara pada masa ini.

Pada 18 Februari 2021, Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah membela diri atas kesemua tiga pertuduhan dan menetapkan sembilan hari iaitu 9,10,15,16,17,22, 23 Jun serta 12 dan 15 Julai bagi mendengar keterangan Rosmah dan saksi-saki pembelaan yang lain.