- Iklan -
Berita

Ratusan individu positif, kontak rapat Covid-19 kunjungi bazar, pusat beli belah KL

Senarai itu berdasarkan data terkumpul daripada laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE).

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
SOP di perlu dipantau terutama di tempat keramaian seperti bazar Ramadan, dan kenduri.
SOP di perlu dipantau terutama di tempat keramaian seperti bazar Ramadan, dan kenduri.

Kementerian Wilayah Persekutuan mengenal pasti dan memantau beberapa bazar Ramadan dan pusat beli-belah di ibu kota yang dikesan dikunjungi ratusan individu positif dan kontak rapat Covid-19, yang berkemungkinan akan diarah tutup.

Menterinya, Annuar Musa berkata senarai berdasarkan data terkumpul daripada laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

“Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba) majukan kepada saya senarai tersebut.

“Saya tak menafikan, ada beberapa pusat beli-belah di Kuala Lumpur yang dikunjungi 700 orang yang mempunyai kontak rapat positif. Jadi itu berbahaya, tempat begitu perlu disanitasi dan perlu diperketatkan SOP (prosedur operasi standard),” katanya pada sidang media khas berkaitan SOP pematuhan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, semua keputusan yang dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dirujuk terlebih dahulu dengan kementerian kesihatan.

Annuar turut menyeru kerjasama warga kota untuk mematuhi SOP memandangkan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP di Kuala Lumpur yang bermula esok hingga 20 Mei ini bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan itu.

“Saya harap tidak timbul kekeliruan dalam kalangan peniaga. Operasi perniagaan termasuk Bazar Ramadan dibenarkan, Bazar Aidilfitri boleh diteruskan berdasarkan waktu ditetapkan MKN.

“Sekiranya ada maklumat daripada HIDE ataupun ketidakpatuhan, PBT boleh mengeluarkan arahan untuk menutup operasi perniagaan,” tegasnya.

Annuar berkata penguatkuasaan dan kawalan pematuhan SOP oleh orang ramai juga akan dibantu anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun menjelang musim perayaan ini.