- Iklan -
Berita

Siapa Shamsul? Tinjauan dapati pengundi tidak kenal orang kuat Anwar

Seperti Gombak, kawasan Hang Tuah Jaya turut memilih Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Akin. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Akin. Gambar: Facebook

Sebuah tinjauan terhadap pengundi di kawasan pengikut setia Anwar Ibrahim menunjukkan presiden PKR itu hanya mendapat sokongan sebanyak 4% sebagai perdana menteri, ditinggalkan jauh di belakang Muhyiddin Yassin yang mendapat sokongan 50% bagi jawatan nombor satu negara itu.

Tinjauan yang dijalankan di Hang Tuah Jaya, sebuah kerusi Parlimen Melaka yang disandang Shamsul Iskandar Akin dari PKR telah melibatkan 500 pemilih yang layak mengundi.

Tinjauan tersebut dilaksanakan oleh Invoke, sebuah firma analisis data yang diketuai Rafizi Ramli, seorang lagi pengikut setia Anwar dan bekas ahli Parlimen Pandan.

Dalam tinjauan yang didukung portal berita Malay Mail itu, ia mendapati kebanyakan pengundi kawasan itu (89%) tidak mengenali Shamsul sebagai wakil rakyat mereka, sementara 74% lagi berkata mereka tidak pernah mendapat bantuan daripada beliau.

Dijalankan dalam tempoh satu bulan antara 26 Ogos hingga 2 Oktober tahun lalu, tinjauan tersebut adalah sebahagian daripada tinjauan yang lebih luas “bagi mengukur sentimen pengundi selepas enam bulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional yang tidak dipilih melalui pilihan raya,” kata Malay Mail.

Melibatkan 6,000 pengundi di enam kawasan yang diwakili ahli politik kanan. Selain Hang Tuah Jaya, lima kawasan lain yang menjadi sasaran tinjauan termasuk Gombak yang diwakili bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, Johor Baru (Akmal Nasrullah Mohd Nasir dari PKR), Seremban (Anthony Loke dari DAP), Tanjong Malim (Chang Lih Kang dari PKR) dan Wangsa Maju (Tan Yee Kew dari PKR).

Invoke menyimpulkan bahawa tinjauan mengenai Shamsul menimbulkan persoalan sama ada beliau mampu mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya akan datang.

Ia turut berkata bahawa peratusan penerimaan yang rendah terhadap Anwar juga menunjukkan bahawa pengundi bukan sahaja tidak yakin dengan pemimpin PKR, bahkan mula “mengalihkan sokongan mereka daripada perdana menteri sebelumnya”.

“Kekurangan kepercayaan terhadap pemimpin kawasan di samping kurangnya kehadiran Shamsul Iskandar sebagai ahli Parlimen mungkin memberi maksud bahawa PKR akan hilang kerusi Hang Tuah Jaya,” kata Invoke seperti yang dilaporkan Malay Mail.

Sebelum ini, tinjauan serupa turut dijalankan di kawasan Gombak yang merupakan kubu kuat Azmin. Dalam tinjauan itu, Muhyiddin turut mendahului calon-calon lain dalam penerimaan terhadap beliau sebagai perdana menteri.

Antara penemuannya menunjukkan Azmin, yang keluar dari PKR bagi membentuk gabungan PN bersama Muhyiddin selepas kejatuhan PH tahun lalu, sebagai ahli Parlimen yang sangat dikenali, dengan 50% pengundi dapat menamakan beliau sebagai wakil rakyat.

Pengundi yang ditinjau di Gombak turut menempatkan Muhyiddin jauh di depan sebagai perdana menteri (46%), berbanding Anwar (8%) dan Najib (3%).