- Iklan -
Berita

Namakan sekolah terlibat pemeriksaan haid, kata menteri

Radzi mahu mereka yang terlibat melaporkan kejadian tersebut supaya kementerian pendidikan boleh mengambil tindakan mengenainya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin.
Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin hari ini menggesa orang ramai untuk menamakan sekolah yang dikatakan melaksanakan pemeriksaan darah haid secara mengejut oleh pihak guru, susulan beberapa aduan pelajar perempuan mengenainya.

Beliau juga berkata bahawa para pegawainya telah diarahkan memeriksa sekolah mana yang terlibat sambil menambah bahawa pihaknya tidak menemui sekolah yang terlibat secara khusus.

“Orang boleh bercakap, tetapi beri kami butirannya. Sebagai contoh, dalam kes SMK Bentara Luar, kami keluarkan kenyataan,” katanya merujuk kepada sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor, yang didapati mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa dan jantina.

“Sekiranya anda boleh beritahu saya sekolah mana, maka saya akan siasat sekolah itu,” kata Radzi pada sidang media hari ini.

“Orang di luar beritahu bahawa perkara ini berlaku, tanpa spesifik beritahu sekolah mana, kemudian semua orang cakap tentangnya,” tambah beliau.

Radzi memberikan jaminan bahawa kementeriannya akan melaksanakan siasatan dan akan keluarkan penjelasan segera selepas mereka yang  terlibat melaporkan masalah tersebut kepada kementeriannya.

“Kementerian tidak pernah membenarkan amalan seperti ini. Ia tidak masuk akal,” katanya.

“Sekiranya kita perlu buat penjelasan, kita akan buat penjelasan, tetapi kita akan keluarkan penjelasan dengan bukti-bukti yang ada.”

Baru-baru ini dilaporkan bahawa pelajar perempuan di beberapa buah sekolah harus menjalani pemeriksaan untuk memastikan bahawa mereka tidak menggunakan alasan sedang haid untuk tidak menunaikan solat.

Hal ini mendapat kecaman keras daripada pelbagai pihak sehingga bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching menuntut supaya Radzi dan timbalannya mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah tersebut.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata kementeriannya sedang melakukan siasatan terhadap kes seorang guru yang membuat jenaka rogol di samping turut menambah bahawa perkara tersebut masih disiasat pihak polis.

Pada 24 April lalu, seorang pelajar sekolah menengah mendakwa dalam sebuah video TikTok bahawa seorang guru pendidikan jasmani telah membuat jenaka berkenaan rogol semasa kelas berhubung gangguan seksual.