- Iklan -
Berita

Covid-19 meletus bukan salah sekolah semata-mata, kata pakar berhubung SOP

Mereka berkata pematuhan SOP dalam kalangan pelajar memerlukan kerjasama kolektif daripada ibu bapa, guru, pengusaha kantin dan penyedia khidmat pengangkutan.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Murid tahun satu mendengar penerangan dari Ustazah Rosnah yang mengikut garis panduan (SOP) telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan ketika tinjauan MalaysiaNow .
Murid tahun satu mendengar penerangan dari Ustazah Rosnah yang mengikut garis panduan (SOP) telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan ketika tinjauan MalaysiaNow .

Pakar berkata pematuhan SOP kesihatan bukan faktor tunggal yang perlu diperhatikan ketika wabak Covid-19 meletus di sekolah, ketika kes-kes berkaitan kluster pendidikan meningkat sewaktu lonjakan angka jangkitan berlaku di seluruh negara.

Menurut mereka, walaupun mematuhi garis panduan memainkan peranan utama bagi mengawal jangkitan itu, beberapa perkara lain juga perlu dipertimbangkan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar tidak boleh dikaitkan dengan sekolah sepenuhnya kerana banyak kes yang dikesan, punca jangkitannya masih belum jelas.

“Ketika kes Covid-19 dilaporkan di sekolah-sekolah, kami tak pasti dari mana puncanya.

“Pelajar itu mungkin dijangkiti di luar kawasan sekolah. Oleh itu, kita tidak boleh kaitkan meletusnya wabak itu sepenuhnya dengan sekolah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Minggu ini, pihak berkuasa kesihatan Kelantan berkata 259 orang pelajar sekolah menengah didapati positif Covid-19 dari 3 hingga 16 April.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin 111 orang murid sekolah rendah turut didapati dijangkiti virus tersebut.

Pejabat Kesihatan Petaling Jaya baru-baru ini turut mengumumkan penutupan sekitar 19 buah sekolah selepas sekurang-kurangnya satu kes Covid-19 dilaporkan.

Penutupan itu melibatkan 11 sekolah menengah dan tujuh sekolah rendah. Berikutan kejadian itu, ribuan pelajar menghadapi gangguan pembelajaran selepas semua sekolah itu ditutup bagi proses pembasmian kuman dan pengesanan kontak rapat.

Menurut Aminuddin, garis panduan lengkap bagi mengendalikan sekolah dengan selamat semasa pandemik Covid-19 disediakan oleh kementerian pendidikan.

Bagaimanapun, katanya, pematuhan SOP dalam kalangan pelajar adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya tanggungjawab pihak pengurusan sekolah.

Katanya, hal ini kerana kebanyakan pelajar hanya mengikuti SOP kesihatan ketika mereka berada dalam kawasan sekolah.

Namun ketika mereka berada di luar pagar sekolah, pematuhan SOP tidak lagi dilakukan kerana tiada orang yang mengawasi.

Justeru, ia menjadi salah satu faktor penyumbang kepada masalah tersebut, katanya.

Pakar kesihatan turut bersetuju sekolah bukan penyebab penularan mendadak Covid-19 dan kes yang dilaporkan hanya mencerminkan penularan virus yang meningkat dalam kalangan penduduk negara ketika ini.

Ahli majlis kehormat Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) Dr Lim Kuan Joo berkata kes Covid-19 di sekolah sukar dielakkan kerana wujud kemungkinan pelajar dijangkiti di pelbagai tempat di luar perkarangan sekolah.

“Seorang pelajar boleh dijangkiti di rumah, atau ketika dalam perjalanan dengan bas dan kereta api yang sesak dari pelbagai tempat.

“Semua ini mewujudkan kemungkinan virus itu menular melalui udara,” katanya kepada MalaysiaNow.

Di samping itu, beliau menambah bilik darjah yang sesak dan kegagalan pihak sekolah memeriksa suhu juga boleh menjadi punca kepada masalah ini secara umumnya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy, berkata membuka sekolah ketika pandemik memerlukan kerjasama kolektif daripada semua orang.

Katanya, mematuhi SOP di luar perkarangan sekolah adalah sama pentingnya seperti berada dalam kawasan sekolah.

Menurutnya, guru, ibu bapa, pengusaha kantin, murid dan penyedia khidmat pengangkutan perlu memainkan peranan penting dalam usaha memastikan perkara tersebut dilaksanakan.

“Selangor adalah salah satu negeri yang mencatat jumlah kes baru Covid-19 tertinggi, jadi penting bagi rakyat di negeri ini memahami risikonya dan pastikan mereka mematuhi SOP sepanjang masa,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin mencadangkan agar sekolah mempertimbangkan semula model penggiliran yang diusulkan kementerian pendidikan.

Hal ini kerana ia dapat membantu dalam memastikan pematuhan SOP dengan lebih baik bagi mencegah wabak Covid-19 di sekolah.

“Sekolah di luar zon merah dan kawasan berisiko tinggi harus pertimbangkan untuk guna model penggiliran,” katanya.

“Bahagikan pelajar dari satu kelas ke dalam kumpulan yang lebih kecil dan minta mereka hadiri kelas pada hari yang berbeza. Ini akan mengelakkan kesesakan pelajar di sekolah.”