- Iklan -
Berita

Siasatan 1MDB, SRC diklasifikasi sebagai NFA, bukan ditutup kata bekas peguam negara

Apandi berkata semasa beliau melepaskan jawatan peguam negara pada 2018, siasatan berhubung kes itu masih berjalan dan belum selesai.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali. Gambar: AP
Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali. Gambar: AP

Mohamed Apandi Ali memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa sepanjang tempoh beliau menjadi peguam negara, siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC International) hanya diklasifikasi sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” atau NFA serta tidak pernah ditutup.

Apandi berkata semasa beliau melepaskan jawatan peguam negara pada 2018, siasatan berhubung kes itu masih berjalan dan belum selesai.

“Mana-mana penyiasat boleh membuka semula siasatan kes itu jika terdapat sebarang bukti baru.

“Kertas siasatan (IP) dipindahkan dari agensi siasatan, jika IP itu kembali kepada kami, kami akan menelitinya. Jika kami mendapati ada perkara yang perlu dilengkapkan, kami akan memulangkannya. Siasatan kes itu tidak pernah diselesaikan walaupun pada hari saya meninggalkan pejabat peguam negara,” katanya pada perbicaraan kes saman fitnah beliau terhadap ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang di hadapan Hakim Azimah Omar.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim berhubung isu penutupan siasatan kes 1MDB.

Kepada soalan lain, Apandi berkata beliau tidak membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada pertuduhan berkaitan 1MDB dan SRC International namun hanya yang mempunyai kaitan dengan sumbangan RM2.6 bilion.

Ramkarpal: Siaran akhbar (bertarikh 26 Jan 2016) yang anda bacakan pada satu sidang media, membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam SRC International. Adakah anda bersetuju bahawa ini adalah kerana pada pandangan anda, dana itu datangnya daripada sumbangan tersebut dan bukan SRC International?

Apandi: Saya tidak menyebut sumber dana itu dalam siaran akhbar, saya hanya menyebut tidak ada bukti bahawa Najib menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Ramkarpal: Jadi anda katakan bahawa tidak ada bukti wang itu datangnya daripada SRC International?

Apandi: Pada masa yang material itu.

Apandi juga berkata sepanjang tempoh 47 tahun berkhidmat dalam arena perundangan, beliau tidak pernah melakukan sebarang salah laku atau “membantu” sesiapa yang mempunyai kaitan dengan 1MDB atau SRC International.

Ramkarpal kemudian menyoal Apandi mengenai laporan berita bahawa peguam negara ketika itu enggan bertindak ke atas syor panel semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Najib.

Ramkarpal: Laporan ini agak teruk dan seorang daripada ahli panel itu, Lim Chee Wee mendakwa bahawa anda tidak bertindak terhadap fakta bahawa sejumlah RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun bank bekas perdana menteri itu. Anda diberikan peluang untuk memberikan maklum balas namun anda tidak berbuat demikian.

Apandi: Saya berpendapat bahawa saya tidak perlu memberikan maklum balas kepada perkara itu.

Pada 5 Julai 2019, Apandi menyaman Lim dan dalam penyataan tuntutan mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” dalam Malaysiakini.

Beliau mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tikda beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara.

Apandi, yang menyandang jawatan peguam negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas peguam negara Malaysia bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am sebanyak RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan bersambung esok.