Bersatu, PAS ikrar hubungan erat, tolak protes Umno
Bersatu dan PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15.
Terkini
Bersatu dan PAS hari ini memeterai kerjasama lebih erat dalam gabungan politik Perikatan Nasional (PN) selepas sebuah mesyuarat antara kedua-dua presiden parti itu semalam.
Dalam satu kenyataan bersama sebuah Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan halatuju PN khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Bersatu dan PAS selaku antara parti pengasas utama Perikatan Nasional, akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan halatuju Parti khusus bagi menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi,” kata kenyataan yang ditandatangan setiausaha agung kedua-dua parti, Hamzah Zainudin dan Takiyuddin Hassan.
Keputusan terbaru itu dicapai dalam satu pertemuan semalam di antara Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bagi merangka halatuju kerjasama lebih mantap dalam PN.
Menurut kenyataan itu lagi, segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen.
“Bersatu dan PAS bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baru’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya.”
Perhimpunan Agung Umno minggu lalu menyaksikan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi meningkatkan serangan terhadap Muhyiddin dan Bersatu.
Di akhir perhimpunan, perwakilan sebulat suara menyokong usul parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PN.
Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak muncul sebagai pengkritik lantang kerajaan PN walaupun ahli-ahli Umno turut dilantik dalam Kabinet kerajaan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
