- Iklan -
Berita

Baki hutang 1MDB berjumlah RM32.3 bilion

1MDB dikatakan sebagai skandal kewangan terbesar dunia berlaku pada zaman pemerintahan Najib Razak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
1MDB dikatakan sebagai skandal kewangan terbesar dunia berlaku pada zaman pemerintahan Najib Razak. Gambar: AP
1MDB dikatakan sebagai skandal kewangan terbesar dunia berlaku pada zaman pemerintahan Najib Razak. Gambar: AP

1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang terlibat dengan skandal kewangan dikatakan terbesar dunia pada zaman pemerintahan Najib Razak sehingga disiasat di beberapa negara masih memiliki hutang yang perlu dijelaskan berjumlah RM32.3 bilion, kata lembaga pengarahnya.

Dalam satu kenyataan hari ini lembaga pengarah 1MDB berkata, dua daripada hutang berkenaan adalah bon denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$3.5 bilion (RM14.7 bilion) dengan kadar kupon 5.75 peratus dan 5.99 peratus, yang akan matang pada 2022.

Manakala bon denominasi dolar AS berjumlah AS$3 bilion (RM12.6 bilion) dengan kadar kupon 4.4 peratus pula akan matang pada 2023, kata kenyataan itu.

Menurut lembaga pengarah syarikat itu, hutang terakhir 1MDB iaitu sukuk bernilai RM5 bilion dengan kadar keuntungan 5.75 peratus akan matang pada 2039.

Menurut 1MDB, kementerian kewangan menubuhkan pasukan khas yang dianggotai oleh wakil syarikat itu, jabatan peguam negara, suruhanjaya sekuriti (SC), bank negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pusat pencegahan jenayah kewangan nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Governans, Integriti dan AntiRasuah Nasional.

“Proses ini juga membabitkan pelantikan penasihat undang-undang profesional yang akan membantu 1MDB dalam usaha mendapatkan semula aset dan tindakan sivil di mahkamah.

“Yuran profesional penasihat undang-undang dilantik adalah berdasarkan jumlah masa yang terbabit, selaras dengan kadar yang sudah dirunding dan dipersetujui serta bukan berdasarkan komisen atau peratusan nilai penyelesaian atau nilai aset diperoleh.

“Justeru, 1MDB akan meneruskan usaha mendapatkan semula aset bagi membolehkannya membayar balik kesemua bon atau sukuk apabila matang kelak,” katanya.

Lembaga pengarah 1MDB berkata, sebagaimana diumumkan oleh kementerian kewangan, kerajaan Malaysia sudah menerima penyelesaian tunai bernilai AS$2.5 bilion daripada Goldman Sachs.

Katanya, jumlah berkenaan dimasukkan ke dalam akaun amanah mendapatkan kembali aset (akaun amanah) yang disenggara oleh jabatan akauntan negara.

“Semua hasil yang diterima daripada usaha pengembalian aset ini, termasuk penyelesaian yang akan datang, sudah atau akan dimasukkan ke dalam akaun amanah ini,” katanya.

Baru-baru ini, 1MDB berjaya membuat penyelesaian bernilai RM2.83 bilion dengan AMMB Holdings Bhd dan sejumlah RM324 juta lagi dengan Deloitte.