- Iklan -
Berita

Larangan guna kalimah ‘Allah’ kekal di Selangor, kata sultan

Sultan Selangor menggesa seluruh rakyat negeri itu patuh dengan peruntukan enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988).

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook

Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah hari ini berkata bahawa larangan bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” terus dikekalkan di negeri itu walaupun Mahkamah Tinggi baru-baru ini membenarkan penganut Kristian menggunakan perkataan “Allah” dan tiga lagi perkataan dalam penerbitan agama mereka.

Dalam sebuah kenyataan, beliau berkata bahawa kalimah “Allah” ialah satu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa.

“Namun, demikian sekiranya perkataan ‘Tuhan’ digunakan sebagai terjemahan untuk terjemahan ‘God’, Beta tiada halangan atas penggunaan perkataan ‘Tuhan’ tersebut.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan bahawa penganut Kristian boleh menggunaan beberapa perkataan termasuk “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah,” dan “solat” dalam penerbitan agama mereka.

Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi membenarkan tindakan undang-undang ke atas permohonan seorang wanita Kristian berketurunan Melanau, Jill Ireland menggunakan kalimah Allah bagi tujuan keagamaan dan pendidikan.

Keputusan itu menghentikan kemelut pertikaian selama 13 tahun sejak Jill membuatkan fail permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 dengan tujuan menuntut pemulangan CD yang dirampas pada pada 11 Mei 2008 serta bayaran ganti rugi.

Pada hari yang sama mahkamah turut memutuskan kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah Allah pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin berkata pendirian beliau mengenai hal ni adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan menteri dalam negeri pada tahun 2014 dan juga fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Feruari 2010 yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

Beliau turut menggesa orang bukan Islam di Selangor mematuhi larangan penggunaan Allah seperti yang diperuntukkan di bawah enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakanpada 7 Julai 1988.

“Sebagai ketua agama Islam Selangor, Beta tetap akan mempertahankan kesucian kalimah Allah ni kerana memelihara kesucian kalimah Allah ini adalah menjadi tuntutan agama dan tanggungjawab beta.

“Apa gunanya Beta menjadi ketua agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

“Beta sentiasa menekankan agar rakyat Beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak menyentuh sensitiviti agama masing-masing.

“Jika umat Islam boleh menghomati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka ma beta jugaa menggesa agar penganut selain Islam untuk menghormati penganut Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah,” katanya.