- Iklan -
Berita

Kanak-kanak 5 tahun maut dilanggar di hadapan rumah

Mohamad Aqil Aimar Ismail mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan sebelum meninggal dunia pada 6.05 petang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang sedang menunggang basikal maut selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita dalam kejadian di hadapan rumah mangsa di Kampung Tok Sani, di Butterworth semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian 4.30 petang itu, Mohamad Aqil Aimar Ismail mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan sebelum meninggal dunia pada 6.05 petang.

“Kejadian itu berlaku ketika wanita berusia 32 tahun yang memandu SUV jenis Toyota Fortuner keluar dari rumahnya iaitu berdekatan dengan rumah mangsa dan mahu ke sebuah madrasah di Butterworth untuk menziarahi anaknya di sana.

“Pemandu itu ketika membelok ke kiri selepas halaman rumahnya secara tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat lalu memberhentikan kenderaan dan keluar untuk memeriksa sebelum mendapati dia terlanggar seorang kanak-kanak lelaki yang menunggang basikal dari arah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Noorzainy berkata wanita itu kemudian terus membawa kanak-kanak berkenaan ke unit kecemasan HSJ namun mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta agar ibu bapa lebih peka serta mengawal anak-anak ketika berbasikal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.