- Iklan -
Berita

Pemandu treler dalam kemalangan maut di LRUS ada 13 saman trafik, kata polis

Semua saman itu dikeluarkan sejak 2008 hingga tahun lalu, termasuk tiga saman melibatkan kemalangan jalan raya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli keluarga mangsa kemalangan maut ketika pengkebumian di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Kesemua empat mangsa meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan itu. Gambar: Bernama
Ahli keluarga mangsa kemalangan maut ketika pengkebumian di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Kesemua empat mangsa meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan itu. Gambar: Bernama

Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan (LRUS) arah selatan petang semalam mempunyai 13 rekod kesalahan trafik.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pemandu berusia 34 tahun itu mempunyai saman trafik sejak 2008 sehingga tahun lepas, termasuk tiga daripada saman tersebut adalah terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Polis telah menahan pemandu treler dan akan direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

"Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan mendapati lelaki tersebut tidak memandu di bawah pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mior Faridalathrash berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.45 petang semalam dan hasil siasatan mendapati sebuah lori treler tanpa muatan yang dipandu lelaki itu dari arah Taiping menghala ke Bukit Beruntung, Selangor telah merempuh sebuah kereta yang dinaiki empat sekeluarga dari arah belakang.

"Akibat daripada rempuhan tersebut, treler dan kereta itu telah menggelongsor ke hadapan lalu melanggar lima buah kenderaan lain yang turut mengalami kerosakan teruk namun kesemua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Dalam pada itu, Faridalathrash turut meminta orang ramai yang telah menyaksikan kemalangan tersebut supaya menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Tarmini Che Hassan di talian 013-5949441 untuk membantu siasatan kes tersebut.

Mangsa, pesara polis Rahim Ramli, 60, isterinya Siti Petimah Omar, 59, dan dua anak perempuan mereka, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian.