- Iklan -
Berita

Kemalangan maut di tapak bina lebuh raya bimbangkan penduduk KL

Kejadian tragik di tapak bina lebuh raya menjejaskan penduduk dan perniagaan di sekitar kawasan perumahan berdekatan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Kawasan tapak bina turut mengeluarkan bunyi bising sehingga malam hari.
Kawasan tapak bina turut mengeluarkan bunyi bising sehingga malam hari.

Sembilan tahun dulu, ketika Ooi Leong Seng membeli rumah impiannya di Taman Bukit Manda’rina, Kuala Lumpur, dia membayangkan kehidupan yang aman dan tenang.

Namun ketenangannya terganggu ketika baru sahaja empat tahun membelinya apabila projek pembangunan lebuh raya mula dibina pada jarak 20m dari rumahnya.

Sekarang, dia dan jiran-jirannya berkata mereka sentiasa diganggu tidak kira siang atau malam dengan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) di Persiaran Alam Damai berdekatan kediaman mereka.

Penduduk sudah menyuarakan bantahan mereka terhadap projek lebuh raya sepanjang 24.4km itu sejak sebelum pembinaan itu dimulakan.

Bagaimanapun, projek itu tetap diteruskan syarikat pemaju pada tahun 2012.

Ketika itulah, penduduk mula sakit kepala.

Ketua Persatuan Penduduk Second Enclave Bukit Manda’rina, Colin Stuart berkata kadangkala kerja-kerja pembinaan projek tetap berjalan sehingga jauh malam.

“Sudah bertahun-tahun kami mengadu, macam muntah, kemudian telan muntah tu balik, kemudian muntah semula,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pembinaan itu terus berjalan, jalan raya bertingkat dipasang tinggi di kediaman penduduk, ia menongkah pemandangan langit dan awan.

Kawasan tapak bina lebuhraya SUKE, kelihatan pekerja mengawasi tapak bina.

Kes-kes bahan binaan yang jatuh di atas kereta penduduk juga sudah disuarakan Stuart.

Semua itu menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan penghuni perumahan setempat.

“Tahun lalu, seorang pekerja nyaris dihempap struktur logam,” kata Stuart.

Bahkan katanya, kejadian tersebut dirakam CCTV.

Projek SUKE menjadi tajuk utama berita bulan ini selepas beberapa insiden maut berlaku di tapak pembinaannya, kemalangan terkini di kawasan tapak bina itu meragut nyawa tiga pekerja warga China.

Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia ketika sebuah kren jatuh dan menghempa sebuah kereta di bawahnya sehingga mencederakan pemandu.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof memerintahkan pemberhentian serta merta kerja pembinaan dan penyelenggaraan projek bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan mengenai punca kemalangan tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati kontraktor mematuhi SOP pembinaan yang ditetapkan.

Antara bahan-bahan logam yang ditemui di kawasan tapak pembinaan lebuh raya SUKE.

Awal bulan ini, dua orang terbunuh ketika van yang mereka naiki dihempap struktur binaan sewaktu mereka dalam perjalanan di Lebuhraya MRR2 Bandar Tasik Selatan.

Struktur jambatan itu jatuh selepas dilanggar sebuah treler.

Mengulas mengenai kemalangan terbaru itu, Stuart mempersoalkan langkah melakukan kerja di tempat tinggi pada 8 pagi.

“Mereka hantar notis yang menyatakan bahawa mereka akan lakukan pembinaan pada waktu malam. Mengapa mereka terus bekerja pada waktu puncak? Siapa yang kawal jalan? Macam mana boleh jentera berat lalu dekat atas ketika ada lalu lintas di bawah?”

Stuart menambah bahawa kerja-kerja pembinaan itu menyebabkan kerosakan pada sistem saliran di Persiaran Alam Damai.

Pemilik perniagaan di kawasan Taman Len Seng dan Damai 23 yang berdekatan kawasan itu juga turut berkata mereka mengalami masalah dalam aliran tunai perniagaan ekoran kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan.

Kenny Lin, jurucakap komuniti perniagaan di Alam Damai, mengatakan banyak gangguan sejak dua tahun kebelakangan ini disebabkan oleh penutupan jalan.

“Sukar bagi perniagaan untuk terus beroperasi bila mereka tutup jalan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pelanggan mengelak masuk ke kawasan ini kerana sukar untuk parkir, dan jalan alternatifnya kecil dan sesak.

“Sekarang, dengan kejadian maut baru-baru ini, mereka rancang untuk tutup jalan lain. Kali ini, kami akan tuntut ganti rugi.”

Seorang aktivis, Mak Khuin Weng mempersoalkan kekerapan kemalangan di lokasi tersebut, dan bertanya sama ada wujud pihak yang bertanggungjawab terhadap semua kemalangan tersebut.

“Kami tak nampak penyelia atau pemaju bertanggungjawab atas kejadian itu,” katanya.

“Tindakan bermula dan berakhir dalam bentuk mendenda kontraktor.”

Mak, bekas ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, turut memetik laporan penilaian kesan persekitaran SUK, bahawa tidak ada butiran mengenai keselamatan kecuali permintaan untuk pemaju mengambil perunding pengurusan lalu lintas.

Mak turut menambah bahawa laporan itu mengenal pasti masalah projek itu hanya secara umum, namun pelaksanaan SOP pembinaan diserahkan kepada pemaju atau kontraktor.

MalaysiaNow masih berusaha mendapatkan respons daripada Prolintas.

Pemaju projek pembinaan lebuh raya itu dilaporkan melantik juruaudit bebas bagi mengkaji punca kemalangan maut tersebut, selain siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan turut dijalankan.

“Pelantikan juruaudit bebas ini adalah SOP apabila sesuatu yang tidak dijangka berlaku di tapak pembinaan lebuh raya.

“Semua syarikat pemaju projek lebuh raya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa semua kontraktor dan sub-kontraktor mematuhi peraturan dan prosedur kerja yang ditetapkan,” kata Lembaga Lebuhraya Malaysia dalam satu kenyataan.