- Iklan -
Berita

Cabaran hidup golongan buta dalam masyarakat yang tidak memahami

Kos tinggi untuk menghasilkan buku dalam tulisan braille menyebabkan kanak-kanak buta tidak mempunyai akses ilmu yang lebih luas.

Fadila Awaludin
3 minit bacaan
Kongsi
Kuala Lumpur, 19 March 2021 - Presiden Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia, Mohammad Huzaifah Ahmad, memeriksa cetakan tulisan brail yang telah siap dicetak pada mesin brail di Jalan Tun Sambathan, Brickfield
Kuala Lumpur, 19 March 2021 - Presiden Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia, Mohammad Huzaifah Ahmad, memeriksa cetakan tulisan brail yang telah siap dicetak pada mesin brail di Jalan Tun Sambathan, Brickfield

Tidak dapat melihat adalah sesuatu yang sukar ditambah pula dengan masyarakat sekeliling yang tidak menyokong serta kekurangan kemudahan asas seperti bahan bacaan.

Kos yang tinggi untuk menghasilkan buku dalam tulisan braille sehingga mencecah 10 kali ganda daripada biasa menyebabkan kanak-kanak buta tidak mempunyai akses lebih luas kepada ilmu berbanding dengan mereka yang celik penglihatannya.

Disebabkan itu, Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) memulakan inisiatif dan berganding bahu dengan penerbit buku tempatan bagi memenuhi permintaan pelajar dan guru buta.

“PPOBM akan bekerjasama dengan pihak penerbit buku seperti PTS, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Ikim untuk diterjemahkan dalam bentuk tulisan braille,” kata Presiden PPOBM Muhammad Huzaifah Ahmad kepada MalaysiaNow.

“Bagaimanapun kos yang tinggi kerana menggunakan kertas dan pencetak khas sehingga menyebabkan sebuah buku yang harga asal RM9 boleh mencecah RM120 apabila diterjemahkan kepada tulisan braille.”

Semakan tulisan brail oleh penyunting sangat penting semasa pembuatan buku.

Katanya, buku yang dihasilkan adalah bertujuan untuk memberikan pendidikan percuma kepada pelajar buta berusia tujuh hingga 12 tahun bagi menggalakkan mereka membaca selain membuka peluang menimba ilmu sama seperti kanak-kanak celik.

Huzaifah berkata, buku yang dihasilkan juga akan dihantar kepada sekolah di seluruh Malaysia mengikut permintaan dan kapasiti buku.

“Fokus utama adalah kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun kerana itu pertumbuhan mereka sedang membesar, justeru bahan bacaan penting bagi membantu pendidikan dan memberi peluang kepada mereka berasa seronok membaca buku sama seperti kanak-kanak celik,” kata Huzaifah yang juga cacat penglihatan disebabkan penyakit Glaukoma.

Menurut Huzaifah, terjemahan buku tulisan braille dimulakan dengan pembelian hak penerbitan bagi mendapatkan kebenaran.

Selepas itu, tulisan braille dilakukan secara digital dengan menggunakan komputer sebelum disunting oleh pemantau yang juga buta.

“Setelah pemilihan dan suntingan dilakukan, bahan akan dicetak dan seterusnya digam bagi menjadikan buku.”

Kurang kemudahan asas

Menurut Huzaifah, selain kurang bahan bacaan bagi golongan buta, peralihan teknologi yang lebih moden turut tidak memanfaatkan mereka.

Katanya sebagai contoh penggunaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang menggunakan skrin sentuh mengehadkan orang buta untuk mengeluarkan wang, melainkan dengan bantuan orang celik.

“Inovasi itu baik untuk pembangunan tetapi adakah ia dapat memenuhi keperluan secara menyeluruh tidak mengira sebarang kekurangan.

“Jika dahulu ATM menyediakan kekunci dengan tanda braille tetapi sekarang telah berubah kepada skrin sentuh.

“Bukan sahaja bagi orang buta, tetapi bagaimana jika individu berkerusi roda ingin menggunakan ATM, adakah fasiliti yang disediakan dapat memberikan kelestarian kepada semua pihak?,” soal Huzaifah.

Mohammad Farid Muslim menyunting tulisan brail pada komputer dengan menggunakan keyboard brail.

Huzaifah berkata, seringkali kawasan tempat pejalan kaki yang disediakan sebagai laluan khas buat orang buta dijadikan tempat pakir motosikal.

Dan apabila dipersoalkan, jawapan yang diterima: “Berapa ramai sahaja orang buta yang nak lalu di sini?”.

Setiausaha PPOBM Sakinah Hassan berkata, disebabkan masyarakat tidak peka kepada golongan buta, mereka tidak dapat hidup berdikari dan memerlukan bantuan orang lain dalam kehidupan seharian.

“Saya melihat perbuatan ini selalu berlaku dan secara peribadi saya pernah menegur tindakan penunggang motosikal yang berbuat demikian,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Namun alasannya tetap sama, siapa yang ingin menggunakan laluan atau mana ada orang buta dekat sini.”

Sakinah berkata, PPOB turut mendapat aduan daripada ibu bapa yang berdepan dengan kesukaran ketika anak-anak mereka menjalani pendidikan dan pengajaran di rumah (PdPR) ketika sekolah ditutup akibat peningkatan kes Covid-19.

Katanya, PdPR menjadi beban kepada ibu bapa untuk menyediakan kemudahan seperti komputer atau telefon pintar.

“Pernah ada pasangan buta yang kerjanya sebagai tukang urut bertemu dengan guru di sekolah meminta emel bagi menghantar tugasan.

“Pelajar buta perlukan kertas dan bahan rujukan khas untuk membolehkan mereka belajar tetapi disebabkan kekangan ada antaranya dibiarkan begitu sahaja,” kata Sakinah yang bimbang situasi sebegini akan menyebabkan pelajar buta tercicir,” kata Sakinah.

Kurang peluang pekerjaan

Menurut Huzaifah, selain kekurangan dalam bidang pendidikan, golongan buta turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

“Pada 2017 jumlah individu buta berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 45,000 dan dianggarkan 20,000 lingkungan 20-an dan 30-an, jadi berapa ramai antara mereka yang mendapat pekerjaan?

“Sedar dengan kekurangan yang kami ada tetapi seharusnya pihak bertanggungjawab memberi peluang kepada orang buta mendapat pekerjaan mengikut kesesuaian,” katanya.

Katanya, disebabkan itu ramai yang memilih untuk menjual tisu di kedai-kedai makan.

“Kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan membuatkan mereka perlu mencari alternatif lain dalam mendapatkan sumber pendapatan.”