- Iklan -
Berita

OKU gesa peratusan pengambilan kerja golongan itu ditingkatkan

Sektor swasta masih tidak yakin untuk mengambil golongan OKU bekerja di syarikat mereka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Masyarakat perlu membuang pemikiran bahawa OKU tidak mampu melaksanakan pekerjaan.
Masyarakat perlu membuang pemikiran bahawa OKU tidak mampu melaksanakan pekerjaan.

Kerajaan diminta menaikkan peratusan pengambilan pekerja OKU (orang kurang upaya) di sektor awam di negara yang kini dilihat masih rendah, kata Setiausaha Kelab Kereta OKU Malaysia Mohd Fadzriq Izzardy Zainal Abidin.

Beliau berkata perkara itu perlu diperhalusi memandangkan terdapat syarikat swasta yang masih tidak yakin untuk mengambil golongan OKU bekerja di syarikat mereka.

“Kerajaan perlu menaikkan peratusan pengambilan pekerja OKU dalam bahagian jawatan dalam kerajaan supaya ramai OKU diterima untuk bekerja dalam kerjaan kerana (syarikat) swasta pun tak ramai yang ambil OKU bekerja.

“Mereka macam tak berapa percaya dengan (kemampuan) OKU walaupun ada ijazah dan diploma. Apabila minta kerja, tak dapat. Saya harapkan pemilik syarikat besar dan kecil cuba ambil OKU (bekerja) sebab OKU cuma terbatas dari segi pergerakan, tetapi sistem otak masih cantik (berfungsi),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Koresponden yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV hari ini.

Mohd Fadzriq Izzardy turut meminta agar fasiliti buat golongan OKU dibaiki bagi memudahkan mereka bergerak, selain mempermudah urusan pengambilan lesen buat golongan itu.

“OKU sekarang ini memerlukan kenderaan sendiri yang sudah diubah suai baru pergi ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan kemudian baru ke Jabatan Pengangkutan Jalan untuk lesen,” katanya.