- Iklan -
Berita

Jerman longgar peraturan sekatan Covid-19

Jerman benarkan pertemuan ahli dua buah rumah termasuk kanak-kanak.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Sebahagian warga Jerman beratur untuk menerima vaksin. Gambar: AP
Sebahagian warga Jerman beratur untuk menerima vaksin. Gambar: AP

Canselor Jerman Angela Merkel pada Rabu bersetuju untuk melonggarkan undang-undang sekatan bagi membendung Covid-19 di negara itu.

Kelonggaran itu akan dilaksanakan secara bertahap selepas pentadbiran beliau ditekan di samping menerima aduan rasa tidak puas hati rakyat negara itu tujuh bulan sebelum pilihan raya umum dijadualkan.

Selepas sembilan jam bermesyarat, Merkel dan 16 lagi pemimpin negara itu mengumumkan rancangan bertahap bagi melonggarkan undang-undang sekatan Covid-19 walaupun kebimbangan mengenai penularan varian virus Covid-19 masih wujud di negara itu.

“Hari ini, kita boleh bercakap mengenai harapan dan transisi ke fasa baru dalam melawan pandemik ini,” kata canselor itu.

Merkel berkata kelonggaran undang-undang yang diumumkan adalah bersyarat selain ia turut disifatkan sejajar dengan program vaksinasi.

Kelonggaran tersebut turut diumumkan selepas warga Jerman didapati sukar untuk meneruskan kehidupan dan perniagaan.

Tinjauan YouGov baru-baru ini mendapati 35% penduduk Jerman menyokong perintah sekatan yang dilaksanakan ketika ini. Peratusan menurun itu dicatat selepas sokongan sebanyak 73% dicapai pada awal pandemik

Sejak Isnin lalu, warga Jerman dibenarkan untuk bersosial semula, dengan pertemuan ahli dua rumah boleh diadakan termasuk kanak-kanak.

Ketika ini, sebuah keluarga hanya boleh menerima seorang tetamu di Jerman.

Kedai buku, bunga dan taman rekreasi turut dibuka semula di seluruh negara selain kedai gunting rambut dan sebahagian sekolah.