- Iklan -
Berita

Zahid Hamidi digesa jelaskan pendirian sebenar Umno berhubung Bersatu

Annuar Musa gesa Zahid jelaskan butiran surat kepada presiden Bersatu pada Februari lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Annuar Musa dilihat vokal mengkritik pimpinan Umno yang dilihat tidak jelas pendirian. Gambar: Bernama
Annuar Musa dilihat vokal mengkritik pimpinan Umno yang dilihat tidak jelas pendirian. Gambar: Bernama

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan secara jujur kekaburan keputusan Majlis Tertinggi Umno (MKT) untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Menurut Annuar, Zahid harus menjelaskan dua keputusan penting parti itu yang disampaikan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin Februari lalu melalui sebuah surat.

“Sebagai ahli kita berhak mengetahui apakah berita ini benar. Jika benar, kenapa ahli tidak diberitahu mengenai tindakan tersebut,” kata Annuar dalam sebuah catatan di Facebook.

Annuar berkata, kandungan surat tersebut mengandungi keputusan Umno yang tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Umno hanya akan bersama kerajaan Perikatan Nasional sehingga Parlimen dibubarkan.

“Ahli juga perlu tahu, apakah benar dua perkara tersebut sememangnya di putuskan oleh mesyuarat MKT.

“Jika benar tentu ahli mahu tahu,rasional keputusan itu di buat sekarang,sedangkan pilihanraya tak tahu bila.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutan berkata banyak persoalan mengenai pendirian Umno timbul selain turut mempersoalkan keputusan tersebut yang tidak diputuskan melalui Perhimpunan Agung Umno

“Kenapa sudah di putuskan tidak berkerjasama sekarang, sedangkan usul-usul sedemikian perlu di bawa ke Perhimpunan Agong Umno (PAU) terlebih dahulu.

“Mengapa mendahului PAU?” soal Annuar.

Annuar dilihat sebagai pemimpin Umno yang lantang mengkritik pendirian presidennya.

Susulan kritikan beliau, Annuar yang juga menteri lantikan Perikatan Nasional (PN) dari Umno dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) pada 5 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat oleh pengerusi BN yang juga presiden Umno, Zahid di dalam satu mesyuarat selepas Annuar menegaskan beliau sedia dipecat daripada parti sekiranya kritikan beliau tidak disenangi pimpinan.