- Iklan -
Berita

Unicef sambut baik pembukaan semula sekolah di Malaysia

Agensi PBB itu berkata guru dan kakitangan sekolah perlu divaksin sejurus petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menyambut baik langkah kerajaan membuka semula sekolah pada bulan Mac ini, mengatakan lebih lama kanak-kanak tidak bersekolah, kerugian lebih besar dalam pembelajaran dan ia satu “kemudaratan yang tidak boleh dipatah balik”.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan badan itu hari ini melalui wakilnya di Malaysia Rashed Mustafa Sarwar berkata, sekolah umpama “mikrokosma masyarakat” di mana kanak-kanak dapat mengakses kemudahan seperti sokongan psikososial dan nutrisi makanan bersama-sama pendidikan mereka.

“Pembukaan sekolah membolehkan murid mengakses perkhidmatan ini, dan belajar, berhubung serta bermain dengan rakan-rakan mereka kembali.”

Kelas fizikal secara bersemuka terhenti pada tahun lepas berikutan peningkatan jangkitan Covid-19.

Walaupun murid Tingkatan 5 dan 6 pada mulanya dibenarkan untuk kembali ke sekolah pada 20 Januari lalu, kementerian pendidikan kemudiannya mengumumkan mereka perlu meneruskan pembelajaran di rumah mulai 10 Februari.

Kerajaan minggu lepas memutuskan murid prasekolah dan sekolah rendah akan kembali ke kelas mulai 1 Mac.

Murid Darjah 1 dan 2 akan kembali bersekolah pada 1 Mac, manakala murid sekolah rendah selebihnya hanya akan bermula seminggu selepas itu.

Sementara itu murid sekolah menengah akan mula bersekolah pada 4 April depan, kecuali mereka di Tingkatan 5 akan memulakan kelas pada 8 Mac.

Unicef mengatakan pendemik Covid-19 menyebabkan kehidupan kanak-kanak terjejas, mengganggu pola kebiasaan, mempengaruhi pendidikan dan kesihatan mental mereka.

“Guru dan kakitangan sekolah patut diberi keutamaan untuk vaksin Covid-19, sejurus selepas petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi divaksinasi.

“Ia secara tidak langsung akan melindungi para guru daripada virus, dan membolehkan mereka mengajar secara dekat, serta sekolah kekal dibuka,” katanya.

Unicef menambah ia akan bekerjasama dengan kementerian pendidikan untuk “mengimiginasi semula pendidikan” terutamanya melibatkan kanak-kanak terpinggir.

“Kita perlu membangunkan dan memperkasakan pembelajaran digital dan jarak jauh, sambungan internet, data mampu milik dan peranti serta penglibatan supaya kanak-kanak mempunyai kemahiran yang mereka perlukan untuk masa depan.

“Ia merupakan peluang buat sistem pendidikan di Malaysia untuk bina semua dengan lebih baik,” katanya.