- Iklan -
Berita

Tuduhan rasuah terhadap saya sengaja direka, kata Zahid Hamidi

Presiden Umno itu mencabar sesiapa sahaja untuk membuat laporan polis terhadapnya berhubung dakwaan tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengatakan tuduhan-tuduhan jenayah rasuah yang mengaitkan dirinya dengan Yayasan Akalbudi melibatkan dana berjuta-juta ringgit sengaja direka dan tidak lebih daripada satu “tuduhan politik”.

Katanya apa jua tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya sengaja direka pemimpin terdahulu dan kini diteruskan oleh pemimpin yang ada sekarang ini.

“Hakikatnya apabila lemparan tuduhan yang sengaja direka oleh pemimpin sebelum itu dan Alhamdulillah diteruskan oleh pemimpin yang ada sekarang ini, saya harus menghadapi perkara ini, biar saya membersihkan nama saya,” katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaPost semalam.

Zahid, 68, menghadapi 47 pertuduhan – 12 berhubung pecah amanah, lapan berkaitan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan yang dijadualkan bersambung hari ini ditangguhkan buat kali ketiga selepas Zahid terpaksa menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat individu yang disahkan positif Covid-19.

Zahid yang ditanya mengapa beliau merupakan satu-satunya presiden parti yang menyokong pembentukan kerajaan hari ini, tetapi tidak diberikan sebarang jawatan dalam mengatakan ia sekadar akal politik.

“Secara idealnya pemimpin parti yang berada di dalam kerajaan atau pemimpin parti yang partinya mendokong kerajaan dari segi logik akal politiknya mesti berada di dalam kerajaan, tetapi itu akal politik,” kata Zahid.

Tambahnya, dengan mengambil contoh tulisan biografi Tommy Thomas “My Story: Justice in the Wilderness” ia jelas jelas memperlihatkan bahawa pertuduhan ini sengaja direka untuk memalukan, untuk mengaibkan, untuk menjatuhkan dan untuk meruntuhkan bukan sahaja individu tetapi organisasi atau parti politik yang diketuainya.

“Itu jelas, walaupun tidak disebut secara literal, secara nyata, tapi itu implied di dalam tulisannya. Kalau saya salah, sila buat laporan polis dan sila siasat saya.”