- Iklan -
Berita

CEO, pengarah syarikat ditahan SPRM kerana disyaki terima rasuah projek ubah suai rangkaian restoran

CEO itu dikatakan meminta setiap kontraktor komisyen sebanyak 15% daripada harga kontrak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor yang melaksanakan projek pengubahsuaian sebuah rangkaian restoran terkenal di Malaysia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kedua-dua yang ditahan berusia 60 tahun dan 37 tahun ditahan lewat petang semalam di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan dibuat di bawah seksyen 16 Akta SPRM.

“CEO tersebut merupakan rakyat Hong Kong dan mempunyai taraf pemastautin tetap Singapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, dalam proses melantik kontraktor-kontraktor bagi projek mengubah suai enam restoran di beberapa negeri, CEO tersebut dikatakan mengarahkan agar setiap kontraktor memberikan komisyen 15% daripada harga kontrak.

“Semua pembayaran rasuah kemudian dimasukkan ke dalam akaun syarikat lain milik seorang pengarah syarikat yang turut ditahan SPRM.”

Kedua-duanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah 5 hari bermula 18 Februari hingga 23 Februari.