- Iklan -
Berita

Pejuang namakan Dr Mahathir, Mukriz sebagai teraju, tolak PRU15 sehingga 2023

Adalah tidak wajar rakyat didedahkan kepada ancaman Covid-19, kerana mahu mengadakan pilihan raya.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz.
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz.

Parti Pejuang iaitu blok politik yang dibentuk oleh Dr Mahathir Mohamad selepas keluar daripada Bersatu tahun lalu, hari ini menamakan dirinya dan anaknya Mukhriz Mahathir dalam barisan tertinggi parti itu.

Dalam sidang media hari ini, Mukhriz mengumumkan Mahathir sebagai Pengerusi dan dirinya memegang jawatan presiden.

Bekas setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya pula dinamakan sebagai timbalan presiden.

Mukhriz hari ini mengulangi penolakan bloknya terhadap pengisytiharan darurat Covid-19, dengan mengatakan ia tidak lain adalah usaha Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan kuasanya di dalam pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun Pejuang menegaskan parti itu menolak sebarang bentuk tindakan untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

Tegas Mukhriz, untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di saat negara sedang memerangi pandemik Covid-19 adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab, dan menambah lonjakan kes yang berlaku sekarang ini adalah disebabkan Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lalu.

“Tidak wajar diadakan PRU15 biarlah habis penggal 2023. Tak perlu dedahkan rakyat dengan ancaman Covid-19.” kata Mukhriz.

Sementara itu, Mukhriz turut mempersoalkan keberkesanan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara, Ariffin Zakaria bersama-sama 18 lagi anggota yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk tiga wakil dari Pakatan Harapan dan tiada wakil daripada Pejuang.

“Kita tertanya-tanya apa yang boleh dibuat oleh jawatankuasa yang dipilih dan diperkenan oleh Agong.

“Persoalannya adakah ia mampu mencapai satu keputusan dengan mengambil kira undi tiga wakil rakyat pembangkang,” soalnya.

Minggu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah perkenan dengan pelantikan bekas ketua hakim Arifin Zakaria untuk mengetuai jawatankuasa itu bagi menasihatinya sepanjang tempoh darurat yang akan berakhir pada Ogos.

Secara terperinci berhubung pengumuman darurat proklamasi yang diumumkan bulan lalu, Muhyiddin mengatakan pentadbiran kekal seperti biasa namun sidang Parlimen ditangguhkan bagi mengelakkan sebarang pengundian dijalankan manakala semua aktiviti harian dibenarkan.

Muhyiddin juga berjanji akan mengadakan PRU15 jika jawatankuasa khas itu merasakan keadaan pandemik Covid-19 sudah terkawal.

“Inilah komitmen saya yang akan saya tunaikan,” tambahnya.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Manakala Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai urus setia jawatankuasa itu.