- Iklan -
Berita

KWSP mansuhkan syarat i-Sinar, pengeluaran Akaun 1 pencarum bawah 55 tahun dibenarkan

Langkah ini diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
KWSP dinasihat menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.
KWSP dinasihat menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar, membolehkan pencarum berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1, tertakluk kepada bakinya, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Zafrul berkata, langkah ini diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.

“KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam,” kata Zafrul dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Januari lalu, Muhyiddin memberi jaminan kerajaan akan memudahkan pengeluaran kemudahan i-Sinar KWSP yang pada ketika itu sudah meluluskan lebih tiga juta permohonan berjumlah RM24 bilion.

Katanya, penambahbaikan akan dilakukan ke atas Program i-Sinar terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) serta bencana banjir.

Zafrul berkata, bagi pencarum yang sudah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Katanya, KWSP memaklumkan bahawa jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal.

“Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

“Bagi ahli yang mempunyai lebih daripada RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 mereka”.

Bagaimanapun Zafrul berkata, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000.

“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000”.

Menurut Zafrul, disebabkan perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan ini.

“Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP.

“Kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan,” katanya.