- Iklan -
Berita

Bekas peguam negara buat laporan polis terhadap bekas peguam negara

Mohamed Apandi Ali bersama peguamnya Baljit Singh tampil membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 2.15 petang tadi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali dan Tommy Thomas
Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali dan Tommy Thomas

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali membuat laporan polis terhadap Tommy Thomas berhubung dakwaan memfitnahnya menerusi buku berjudul “My Story: Justice in the Wilderness”.

Apandi bersama peguamnya Baljit Singh tampil membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 2.15 petang tadi.

Dalam laporan polis itu, Apandi menyatakan buku tersebut secara amnya mengandungi tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas sama sekali terhadapnya.

“Lebih teruk daripada itu, saya menyatakan kandungan buku tersebut mengandungi fitnah jenayah terhadap saya terutamanya dalam muka surat 199.

“Saya percaya fitnah jenayah adalah kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” menurut salinan laporan polis tersebut.

Apandi mendakwa, buku itu juga mendedahkan perkara-perkara sulit yang tertakluk kepada undang-undang kerahsiaan negara.

Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan kepada media susulan laporan polis tersebut, Apandi berkata tujuan beliau membuat laporan polis adalah untuk memastikan semua pihak yang dianiaya, difitnah dan dihina dalam buku itu mendapat keadilan.

“Ini adalah terutamanya untuk pegawai-pegawai perundangan di dalam jabatan peguam negara yang sedang berada dalam dilema di mana mereka mahu membela diri tetapi ini bermaksud mereka terpaksa juga melawan bekas ketua mereka,” katanya.

Polis Selangor pada Rabu membuka kertas siasatan terhadap Thomas atas dakwaan memfitnah.

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka selepas polis menerima laporan daripada bekas pegawai kanan jabatan peguam negara, Mohamad Hanafiah Zakaria pada Selasa.

Hanafiah dalam laporan polisnya mendakwa dalam buku itu, Thomas memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan.