- Iklan -
Berita

‘Cerita karut’, kata Dr Mahathir tentang versi Tommy Thomas mengenai peletakan jawatannya

Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut mengenai peristiwa sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang tahun lepas.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohammad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohammad.

Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut dengan versi diceritakan bekas peguam negara, Tommy Thomas mengenai peristiwa sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang tahun lepas, mengatakan kenyataan tentang Agong mahu melantik bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri interim sebagai “cerita karut”.

“Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini bukanlah pertukaran perdana menteri. Kerajaan PH tumbang. Agong tidak boleh lantik Wan Azizah, TPM sebagai pemangku PM,” kata Mahathir dalam responsnya tentang dakwaan Thomas dalam buku autobiografinya, “My Story: Justice in the Wilderness”.

Thomas dalam bukunya berhujah peletakan jawatan Mahathir pada Februari 2020 sebagai bersifat peribadi dan tidak bermakna kerajaan PH tumbang.

Beliau turut mendakwa Agong mahu melantik Wan Azizah sebagai perdana menteri interim, tetapi Mahathir menghalangnya dan menamakan dirinya sendiri.

“Tommy tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan saya. Menurut Tommy, saya beritahu kepadanya bahawa Agong mahukan Wan Azizah sebagai perdana menteri interim (sementara). Ini cerita karut,” kata bekas perdana menteri itu dalam tulisan terbarunya di blog.

“Selepas menerima dengan berat hati peletakan jawatan saya, Agong cadangkan saya sebagai perdana menteri interim. Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai perdana menteri sementara. Sama seperti saya, dia juga tidak punyai majoriti apabila PH ditumbangkan”.

Mahathir yang akan berumur 96 tahun ini, meletakkan jawatan pada 24 Februari selepas pemimpin tertinggi PH berselisih pendapat terutamanya berhubung tarikh peletakan jawatan bekas pengerusi Bersatu itu untuk memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Peletakan jawatannya menyebabkan kerajaan PH yang berusia 22 bulan tumbang.

Kekosongan jawatan itu diisi oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen Bersatu, Barisan Nasional, PAS, GPS termasuk hampir sedozen ahlli Parlimen PKR yang keluar daripada parti itu dan menjadi bebas.

Mahathir berkata, walaupun peletakan jawatannya adalah bersifat peribadi, tiada alasan untuk Kabinet kekal.

Katanya, beliau mahu menubuhkan kerajaan perpaduan melangkaui parti tetapi mengakui tidak mempunyai majoriti selepas ahli-ahli Parlimen PH tidak menyokongnya.

“Tetapi saya gagal kerana (Lim) Kit Siang dakwa saya mahu jadi diktator.

“Dia sokong Anwar sebagai calon PH. Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh 154 undi. Bayangkan bagaimana hala tuju negara jika kesemua parti meletakkan negara ini sebagai matlamat utama,” katanya.