- Iklan -
Berita

Kajian mendapati kewangan cabaran utama rakyat mengharungi PKP

Namun, rakyat lebih bersedia kali ini berbanding pelaksanaan PKP tahun lalu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis bersama tentera mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, berikutan pelaksanaan PKP.
Anggota polis bersama tentera mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, berikutan pelaksanaan PKP.

Kewangan dilihat menjadi cabaran utama bagi kebanyakan individu susulan banyak aktiviti yang terhenti dalam usaha kerajaan memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan, kata satu kaji selidik selepas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berkuat kuasa 13 Januari lalu.

Keadaan itu juga dikatakan turut akan menjejaskan pendapatan mereka, kata kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI melibatkan 951 orang responden dari empat buah negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Sebanyak 61.4% responden berpandangan berpandangan faktor kewangan merupakan perkara paling mencabar berbanding interaksi sosial (51.6%), kesihatan mental 49.2%, bekerja 48.9% dan memberi barang keperluan 24.5%.

Menurut kajian itu juga, orang awam sudah menunjukkan penyesuaian dengan PKP 2.0 dalam aktiviti membeli barang dapur atau keperluan dan bekerja di mana industri dan peniaga dilihat lebih matang dalam mengurus mekanisma bekerja dan bekalan berbanding PKP tahun lalu.

“Penerimaan terhadap PKP 2.0 ini juga berbeza mengikut kawasan tempat tinggal responden,” kata kajian itu.

Sementara itu lebih separuh daripada responden bersetuju peningkatan kes Covid-19 di negara ini disebabkan kecuaian orang ramai yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Sebanyak 68% bersetuju tiada pematuhan SOP, 18% tidak bersetuju manakala baki 14% mengataka tidak pasti,” tambah kajian itu.

Sepanjang pelaksanaan PKP 2.0, respoden turut mengatakan keadaan mencabar, tetapi masih boleh mengharungi dengan penduduk luar bandar tertinggi, diikuti separa bandar dan bandar.

“83.1% penduduk bandar kata ia mencabar, tetapi masih boleh mengharungi berbanding 79.5% penduduk separa bandar dan 69% penduduk bandar,” katanya.

Hanya sebilangan kecil sahaja menyatakan mereka tidak mampu mengharungi pelaksanaan PKP.

“Sebanyak 25% responden bandar mengatakan tiada masalah dengan PKP berbanding 11.4% penduduk separa bandar dan 8.5% luar bandar”.

Soal selidik juga mendapati sekiranya PKP ini terus disambung untuk tempoh yang lebih lama, 74.3% responden merasakan ia mencabar namun masih boleh diharungi manakala 12.2% lagi berpendapat tiada masalah langsung dan 13.5% pula merasakan mereka tidak mampu mengharunginya.