- Iklan -
Berita

Ku Li positif Covid-19 selepas jadi kontak rapat Adun Nenggiri

Tengku Razaleigh Hamzah kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kata sumber.

Sumber yang rapat dengan pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berkata, Razaleigh mempunyai kontak rapat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri Ab Aziz Yusoff yang disahkan positif Covid-19 pada 9 Januari lalu.

Bagaimanapun sumber berkata, Razaleigh yang berumur 83 tahun itu berada dalam keadaan sihat dan stabil serta tidak mengalami sebarang komplikasi.

“Tengku Razaleigh menjalani ujian saringan baru-baru ini dan keputusannya disahkan positif,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

Difahamkan pegawai Razaleigh, Lokman Abdul Ghani dan salah seorang lagi pegawai juga disahkan positif Covid-19 dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum ini beberapa menteri dan timbalan menteri disahkan positif Covid-19.

Mereka adalah Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamad dan Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin disahkan positif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian saringan awal.