- Iklan -
Berita

Belanjawan 2021 ditambah baik menerusi Laksana, kata menteri kewangan

Langkah itu dibuat oleh kerajaan demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan tetap dijaga.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama

Kementerian Kewangan dalam proses perbincangan dan kajian bagi penambahbaikan Belanjawan 2021 susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat, kata Tengku Zafrul Aziz.

Menteri kewangan itu berkata, langkah itu dibuat oleh kerajaan demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan tetap dijaga.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan negara dan sentiasa mendengar serta bersedia untuk menambah baik inisiatif jika diperlukan.

“Kementerian Kewangan kini dalam usaha penambahbaikan inisiatif di dalam suku pertama 2021 dan sudah memulakan pelaksanaan langkah Belanjawan 2021.

“Kementerian Kewangan sendiri akan memantau pelaksanaan 76 inisiatif seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021. Seperti pakej rangsangan ekonomi tahun lalu, status pelaksanaan inisiatif ini juga akan dikongsi dengan pihak awam,” katanya ketika membentangkan laporan Laksana ke-36 di laman Facebook Kementerian Kewangan, hari ini.

Zafrul berkata, selain bantuan kerajaan, pembabitan pihak swasta juga sangat menggalakkan dalam membantu kewangan rakyat terutama mereka yang berhadapan dengan situasi banjir ketika ini.

“Kementerian Kewangan kini dalam usaha penambahbaikan inisiatif di dalam suku pertama 2021 dan sudah memulakan pelaksanaan langkah Belanjawan 2021.

Beliau berkata, langkah beberapa bank memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman bagi mangsa banjir termasuk lanjutan moratorium sehingga enam bulan sangat dihargai kerajaan.

“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha sebegini, yang sangat diperlukan daripada pelbagai pihak swasta dalam membantu meringankan beban rakyat dan perniagaan.

“Kita semua perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing untuk membantu ekonomi kita berkembang semula,” katanya.

Zafrul turut menasihatkan rakyat agar sentiasa berhati-hati dengan pihak yang mengambil kesempatan menipu bantuan kewangan yang diberikan kerajaan.

Beliau berkata, sindiket penipuan ini menyasarkan rakyat terutama mereka yang layak menerima pelbagai bantuan langsung kerajaan dan kemudahan lain contohnya Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Khas Prihatin (GKP), i-Lestari dan i-Sinar.

“Semua perlu berhati-hati dengan individu dan sindiket penipuan yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan kerajaan.

“Saya menyeru pemohon dan penerima untuk merujuk kepada sumber rasmi saja dan tidak memberikan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali.”

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, pelbagai agensi kerajaan termasuk agensi di bawah kementerian kewangan sentiasa menekankan perkara ini melalui pelbagai saluran.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia juga sudah mewujudkan satu laman media sosial yang memberi banyak maklumat mengenai pelbagai jenis “scam”.