- Iklan -
Berita

Adun Galas, isteri positif Covid-19

Mereka kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim. Gambar: Facebook
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim. Gambar: Facebook

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim mengesahkan dirinya positif Covid-19 selepas melakukan ujian swab, kelmarin.

Dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini, Mohd Syahbuddin berkata turut disahkan dijangkiti wabak itu adalah isterinya Nor Azila Sidi Ahmad, 40, dan mereka kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

“Dengan penuh dukacita dan hiba, hari ini saya dan isteri disahkan positif Covid-19 dan kepada semua yang ada berhubung rapat dipohon jutaan maaf kerana mungkin menyusahkan tuan dan puan yang terpaksa menjalani swab test dan mungkin terkena jangkitan,” katanya.

Beliau turut berkata Gua Musang telah diisytiharkan sebagai zon merah dan meminta semua pihak agar berhati-hati.

Semalam, Adun Nenggiri Ab Aziz Yusoff bersama Ketua Pemuda Umno Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, turut disahkan positif Covid-19.

Kedua-duanya kini menerima rawatan serta dikuarantin di HSIP dan berada dalam keadaan stabil.

Ab Aziz dan Mohd Azmawi Fikri dalam hantaran di Facebook mereka memohon rakyat di kawasan Parlimen Gua Musang mendoakan mereka selamat.