- Iklan -
Berita

Rakyat semakin ‘murung’ ketika penularan Covid-19 meningkat

Semakin ramai yang mendapatkan rawatan kesihatan mental sejak tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Januari hingga Jun 2020, sebanyak 465 pesakit cuba bunuh diri dan ini semua berlaku ketika Covid-19 melanda negara.
Januari hingga Jun 2020, sebanyak 465 pesakit cuba bunuh diri dan ini semua berlaku ketika Covid-19 melanda negara.

Peningkatan kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga ada yang cuba membunuh diri dikesan daripada pertambahan pembelian ubat anti kemurungan sejak akhir-akhir ini ketika jangkitan Covid-19 mencecah empat angka setiap hari, kata pakar.

Mereka berkata, perkembangan itu membimbangkan dengan mengambil kira semakin ramai yang mendapatkan rawatan kesihatan mental sejak tahun lalu dengan jumlah tertinggi antara bulan April hingga Jun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jika lihat statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk bulan Januari hingga Jun 2020, sebanyak 465 pesakit cuba bunuh diri. Ini semua berlaku pada tempoh jangkitan Covid -19, jadi jelas kita boleh lihat masa PKP trend ini mula meningkat mendadak berbanding PKP Pemulihan pada Julai hingga September,” kata Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang kepada MalaysiaNow.

Amrahi berkata, laporan dan data rasmi berhubung pengambilan ubat anti kemurungan sedang dikumpul KKM dan masih belum dikeluarkan.

Katanya, terdapat petugas barisan hadapan seperti doktor dan pegawai farmasi turut dibekalkan ubat anti kemurungan akibat tertekan bekerja dalam wad untuk merawat pesakit Covid-19.

“Kita juga tahu kerajaan pun ada menyediakan khidmat kaunseling untuk mereka ini.”

Di Malaysia, ubat anti kemurungan dikategorikan sebagai bahan kawalan dan setiap individu yang dibekalkan perlu melalui preskripsi oleh doktor atau pegawai farmasi di hospital, klinik atau farmasi komersial yang sah.

Menurut laman sesawang KKM, terdapat empat jenis ubat anti kemurungan iaitu Trisiklik (Tricyclic), Reversible Inhibitors of Monoamine Oxidase type A (RIMAs), Selective Serotonin Reuptake Inhibitors (SSRIs) dan Serotonin and Noradrenaline Reuptake Inhibitors (SNRIs) di mana setiap jenis mempunyai nilai dos yang berbeza.

Pada Oktober, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendedahkan hampir setengah juta rakyat Malaysia mengalami kemurungan dan daripada jumlah itu, 424,000 adalah kanak-kanak yang dikesan mengalami masalah kesihatan mental seawal usia 14 tahun.

“Kita juga tahu kerajaan pun ada menyediakan khidmat kaunseling untuk mereka ini.”

Amhari berkata, dengan tempoh lebih satu tahun Covid-19 berterusan di Malaysia, situasi akan menjadi lebih parah dan tindakan segera perlu diambil dan menambah peruntukan sebanyak RM344.82 juta dalam Belanjawan 2021 untuk pesakit mental membuktikan kerajaan juga mengambil langkah berjaga-jaga.

Beliau bagaimanapun berkata, peruntukan itu tidak melebihi 1% daripada keseluruhan peruntukan kesihatan, lebih rendah berbanding purata 2.8% di peringkat antarabangsa seperti di Britain dan Amerika Syarikat.

Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow senada dengan Amhari berhubung peningkatan dalam pengambilan ubat anti kemurungan di sektor swasta.

Katanya, ubat-ubat ini dibekalkan apabila pesakit tidak lagi mampu menghilangkan tekanan melalui sesi kaunseling dengan ahli psikiatri bertauliah.

“Ahli keluarga dan doktor akan berperanan untuk memantau pengambilan ubat-ubatan ini supaya pesakit kembali normal,” katanya.

Pada masa sama, Amhari turut menyuarakan kebimbangan kekurangan ahli psikiatri dalam negara apabila data pada tahun 2018 menunjukkan terdapat hanya 410 psikiatri di Malaysia dengan nisbah psikiatri kepada penduduk 1.27:100,000 (satu doktor merawat 100,000 pesakit mental, jauh lebih rendah daripada nisbah disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:10,000.

Bagaimanapun katanya, terdapat saluran bantuan yang menawarkan perkhidmatan kaunseling bagi mengatasi kekurangan tersebut seperti Talian Kasih 15999 yang disediakan kerajaan dan Befrienders yang dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO).

Amhari menasihatkan, amalan gaya hidup yang sihat dapat membantu kesihatan mental yang baik seperti seperti pemakanan sihat, bersenam setiap hari dan tidur yang mencukupi setiap malam.