- Iklan -
Berita

Jack Ma hilang?

Kali terakhir dilihat di khalayak ramai kira-kira lebih dua bulan lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengasas Alibaba Jack Ma. Gambar: AFP
Pengasas Alibaba Jack Ma. Gambar: AFP

Pelbagai spekulasi muncul mengenai ke mana menghilangnya jutawan Jack Ma selepas beberapa laporan mengatakan ahli perniagaan itu sudah lebih dua bulan tidak kelihatan di khalayak ramai.

Pengasas Alibaba itu juga gagal muncul dalam episod akhir program realiti televisyen miliknya, Africa’s Business Heroes.

Ma sepatutnya menjadi hakim tetapi digantikan dengan seorang eksekutif Alibaba pada final yang berlangsung pada November lalu, lapor Daily Telegraph UK.

Wajahnya turut dipadam dari laman sesawang itu.

Jurucakap Alibaba mengatakan Ma tidak dapat hadir ke program itu sebagai juri kerana “berlaku pertindihan jadual”, menurut Financial Times.

Salah satu entiti perniagaan Ma, Ant Group kini dalam pemantauan Beijing susulan kenyataan kontroversinya di Shanghai pada 24 Oktober yang mengkritik sistem peraturan China kerana dikatakan menyekat inovasi.

“Sistem kewangan hari ini adalah warisan Zaman Industri (tradisional),” kata Ma dalam ucapannya. “Kita perlu menyediakan sistem baru untuk generasi akan datang dan orang muda. Kita perlu mereformasi sistem sedia ada.”

Seminggu selepas itu IPO Ant Group digantung atas alasan beberapa isu melibatkan persekitaran pengawalseliaan teknologi kewangan.

Pihak berkuasa China melancarkan siasatan anti monopoli terhadap Alibaba pada penghujung Disember lalu, termasuk meminta Ant Group menyusun semula operasinya.

Ma menyumbang berjuta-juta pelitup muka ke negara Eropah, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi memerangi pandemik Covid-19.

Ciapan terakhirnya di Twitter adalah pada 10 Oktober tahun lalu.