- Iklan -
Berita

11,000 mangsa banjir dipindahkan, pihak berkuasa berdepan 2 cabaran, termasuk Covid-19

Jumlah mangsa banjir dipindahkan kian meningkat, memaksa pihak berkuasa bersedia menghadapi satu lagi cabaran ketika pandemik masih menular.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Warga Kuantan membantu menolak sebuah kereta yang terkandas dalam banjir di hadapan Stadium Darul Makmur selepas hujan lebat tanpa henti selama dua hari. Gambar: Bernama
Warga Kuantan membantu menolak sebuah kereta yang terkandas dalam banjir di hadapan Stadium Darul Makmur selepas hujan lebat tanpa henti selama dua hari. Gambar: Bernama

Pihak berkuasa kini bersiap sedia bagi menghadapi banjir yang kian memburuk di seluruh negara yang setakat ini sudah meragut dua nyawa dan melibatkan lebih 11,000 orang dipindahkan.

Beribu-ribu anggota bomba sekurang-kurangnya di tiga buah negeri bersiap sedia, berganding bahu dengan pelbagai agensi bagi membantu usaha memindah dan menyelamat.

Pada masa sama terdapat juga beberapa laporan mengenai kejadian tanah runtuh dan banjir yang menyebabkan aliran trafik di beberapa jalan raya dan lebuh raya terpaksa ditutup dalam tempoh 24 jam lalu, dengan jabatan meteorologi memgeluarkan amaran hujan lebat sepanjang minggu ini.

Kehidupan harian juga terjejas di beberapa bandar-bandar utama di Pahang dan Johor dengan puluhan klip video dikongsi dalam media sosial menunjukkan pemandu kenderaan terperangkap di jalan yang dinaiki air.

Sebuah keluarga empat beranak di Johor terpaksa menunggu 11 jam di dalam kenderaan mereka selepas jalan Kluang-Mersing ditenggelami air.

Kereta seorang guru sekolah Abdul Aziz Jemain terkandas bersama-sama 40 kenderaan lain sebelum mereka diselamatkan.

Pahang dan Johor ketika ini antara dua negeri yang paling teruk terkesan, dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan penutupan sementara lebih 90 pencawang elektrik atas faktor keselamatan ketika banjir menjejaskan beratus-ratus buah rumah.

Rumah-rumah penduduk di Taman Maran Jaya, Maran yang ditenggelami air selepas hujan lebat turun selama dua hari. Gambar: Bernama

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat tiga kali ganda daripada 1,800 orang pada pukul 4 petang kepada kira-kira 5,400 malam semalam.

Ketua Polis Pahang Abdul Jalil Hassan memberitahu MalaysiaNow daerah Kuantan merekodkan jumlah paling ramai dipindahkan ke pusat pemindahan.

Sementara itu, hampir sebahagian besar Maran ditenggelami air, menyebabkan bandar itu terputus hubungan dengan daerah berdekatan dan pihak bomba mempertimbangkan penggunaan helikopter untuk sampai ke penempatan Felda dan perkampungan Orang Asli.

Di Kluang, Johor, di mana beribu-ribu mangsa dilaporkan terjejas akibat banjir tahun lepas setakat ini menyaksikan lebih daripada 2,500 orang dipindahkan ke pusat pemindahan setakat semalam.

Kawasan lain yang turut menunjukkan peningkatan mangsa banjir termasuk, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kulai.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir di Kampung Kangkar Tebrau, Johor malam kelmarin. Gambar: Bernama

Di Kelantan, jentolak digunakan untuk membawa keluar kira-kira 100 buah kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam ekspedisi di Hulu Tembeling, Kuala Krai selepas mereka terperangkap dalam lumpur.

Sebilangan besar peserta juga terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing.

Dalam tempoh ini banjir merupakan bencana tahunan, tetapi tahun ini ia dijangka lebih mencabar bagi pihak berkuasa kerana pelbagai agensi masih berperang dengan pandemik Covid-19 yang setakat ini mencatatkan hampir 2,000 kes baru setiap hari.

Masih segar dalam ingatan pihak berkuasa mengenai kejadian banjir besar yang berlaku enam tahun lalu, meragut 21 nyawa dan menyebabkan 200,000 penduduk terjejas.

Banjir besar itu juga merosakkan kampung-kampung dan kediaman di bandar Kuantan, dengan kerosakan harta benda di beberapa buah negeri dianggarkan melebihi RM2 bilion.

Dalam pada itu, jabatan meteorologi telah mengeluarkan amaran merah hujan lebat diramalkan berlaku hari ini dan esok di Terengganu, Johor dan Pahang.

Musim hujan diramalkan berterusan sehingga Mac.