- Iklan -
Berita

Ku Nan didapati bersalah dalam kes rasuah RM2 juta

Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan yang munasabah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor. Gambar: Bernama
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor. Gambar: Bernama

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor didapati bersalah dalam kes rasuah RM2 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan keputusan itu sambil Tengku Adnan melihat dari kandang tertuduh semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.

Dalam penghakimannya, Zaini berkata tiada keterangan yang menunjukkan bahawa tertuduh mengeluarkan wang RM2 juta daripada akaun Tadmansori untuk perbelanjaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

“Tidak diragukan lagi bahwa RM2 juta tetap ada di dalam akaun Tadmansori untuk kepentingan tertuduh dan tidak membayar perbelanjaan dua pilihan raya kecil itu. Dia menggunakan Tadmansori sebagai pelindung kepada perbuatan jenayahnya,” kata hakim.

Zaini berkata tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Saya dapati tertuduh bersalah dan menyabitkannya bersalah atas pertuduhan berkenaan,” kata hakim yang mula membaca penghakimannya pada 9.38 pagi tadi.

Mahkamah berehat selama 45 minit bagi membolehkan pendakwaan dan pembelaan menyediakan hujah sebelum hakim menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Chai Kin Kong yang juga pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Ahli Parlimen Putrajaya berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sepuluh wartawan daripada setiap organisasi media terpilih, diberikan pas untuk berada di bilik mahkamah manakala pas untuk mengikuti prosiding menerusi pautan video di bilik lain diberikan kepada 20 lagi wartawan.