- Iklan -
Berita

Peruntukan tambahan RM20 bilion Kumpulan Wang Covid-19 diluluskan

Had siling Kumpulan Wang Covid-19 dinaikkan sebanyak RM20 bilion iaitu daripada RM45 bilion kepada RM65 bilion.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama

Dewan Rakyat hari ini, sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2020, membolehkan peruntukan tambahan RM20 bilion disalurkan kepada Kumpulan Wang Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, berkata tujuan utama kerajaan membentangkan RUU Penyakit Koronavirus (Pindaan) 2020 ke Dewan Rakyat hari ini bagi menaikkan had siling Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion iaitu daripada RM45 bilion kepada RM65 bilion berdasarkan keperluan semasa.

Katanya tindakan berkenaan selari dengan desakan ahli Parlimen supaya kerajaan menaikkan peruntukan tambahan bagi menangani Covid-19.

“Kenapa kerajaan sebelum ini tidak menaikkan peruntukan tambahan, pertama peruntukan wang Covid-19 sebanyak RM45 bilion dan bakal ditambah menjadi RM65 bilion adalah suntikan fiskal langsung.

“Kita harus ingat jumlah pakej rangsangan bernilai RM305 bilion dan RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021. Jumlah ini termasuklah sumbangan pelbagai sumber termasuk BNM, GLC dan agensi kerajaan, skim jaminan dan insentif percukaian.

“Saya menekankan perkara ini kerana usaha melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memulihkan ekonomi membabitkan sektor awam, swasta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sendiri yang harus dilihat secara keseluruhannya,” katanya ketika menggulung perbahasan pindaan RUU Covid-19 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Zafrul di samping inisiatif di bawah Belanjawan 2021 bermula tahun depan masih ada bantuan lain disalurkan kerajaan menerusi Pakej Prihatin, Penjana, Program Subsidi Upah (PSU), Bantuan Prihatin Negara (BPN) dan banyak lagi yang masih berjalan.

Katanya faktor ketiga ialah keperluan kerajaan mengimbangi disiplin fiskal dan keperluan semasa serta ruang untuk menambah pakej rangsangan pada masa depan.

“Tambahan RM20 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19 ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM65 bilion tidak akan melanggar had statituari hutang kepada 60% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun 2021.

“Pendirian kerajaan dalam isu ini adalah jelas dan konsisten seperti saya sebutkan sebelum ini bahawa kerajaan sentiasa memantau situasi semasa dan jika ada keperluan kerajaan akan teliti keperluan menambah peruntukan untuk Kumpulan Wang Covid-19 dari semasa.”

Zafrul juga berkata peruntukan tambahan yang dibentangkan ini penting bagi membolehkan kerajaan memberikan sokongan berterusan kepada petugas barisan hadapan dan agensi kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19.