- Iklan -
Berita

14-0 : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi lulus undi dengan undian suara

RM9.35 bilion diperuntukkan kepada Mosti dalam Belanjawan 2021 lulus dengan undian suara.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Gambar: Bernama
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Gambar: Bernama

RM9.35 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 lulus dengan undian suara.

RM5.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM4.25 bilion untuk pembangunan.

Ini menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mendahului dalam pembentangan semua 14 kementerian di peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 meskipun sebelum ini dikhabarkan pembangkang Pakatan Harapan (PH) akan menguji semua kementerian dalam usaha untuk menggagalkannya.

Dalam penggulungan menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu Malaysia meletakkan sasaran 70% daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok (herd immunity) di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit Covid-19.

Sehingga kini, Malaysia menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan bekalan vaksin sebanyak 30% daripada jumlah populasi negara.

Perjanjian pertama adalah bersama “Covax Facility” melalui “Optional Purchase Arrangement” yang ditandatangani pada 23 November 2020 yang lalu yang menjamin bekalan vaksin sebanyak 10% populasi negara.

“Manakala perjanjian kedua pula adalah perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer yang dimeterai pada 24 November 2020 bagi mendapatkan bekalan vaksin sebanyak 20% daripada populasi negara (12.8 juta dos).

“Bagi mencapai baki sasaran sebanyak 40% lagi, kerajaan masih di dalam proses perbincangan dan rundingan bersama syarikat-syarikat farmaseutikal pembangun vaksin Covid-19 yang lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi tujuan imunisasi kepada rakyat pula, kerajaan menyasarkan tempoh suku tahun pertama 2021 bagi memperoleh wajaran penggunaan pertama bekalan vaksin Covid-19.

“Suka ditegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin.

“Keputusan akhir bagi penggunaan sesuatu vaksin di Malaysia hanya akan dibuat selepas melalui proses pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan.”