- Iklan -
Berita

Sultan titah parti politik cari formula terbaik bentuk kerajaan baru Perak

Berhubung calon menteri besar baru, Annuar berkata difahamkan perkara itu masih dalam perundingan parti-parti politik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Gambar: Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Gambar: Bernama

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan semua parti politik di negeri berkenaan mencari formula terbaik untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin bertitah demikian pada sesi terima menghadap beberapa pimpinan parti politik hari ini.

“Segala pandangan (pimpinan parti politik) itu didengari tetapi bukanlah tanggungjawab untuk Sultan Nazrin campur tangan dalam urusan masing-masing parti dan Sultan hanya boleh nasihatkan carilah formula terbaik untuk tubuhkan kerajaan dan pimpinan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di luar perkarangan Istana Kinta, di Ipoh selepas selesai majlis terima menghadap beberapa pimpinan parti politik itu.

Pimpinan parti politik itu termasuk Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamed.

Esok, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijadual menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh pukul 10 pagi.

Ditanya sama ada pihak Istana disembah maklum senarai calon menteri besar baru, Annuar berkata difahamkan perkara itu masih dalam perundingan parti-parti politik.

Semalam, Faizal gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap menteri besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Usul itu dibawa Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan untuk membuktikan Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai seorang menteri besar.

DUN Perak merangkumi 25 Adun Barisan Nasional yang kesemuanya Umno, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3), PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu.