- Iklan -
Berita

Akta baru lindungi maklumat sulit negara sedang dikaji, diteliti

Segala maklumat sulit berkaitan negara dapat dilindungi di samping mampu menghindari perbuatan penyelewengan dan rasuah.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan mewujudkan satu akta baru bagi memastikan segala maklumat sulit berkaitan negara dapat dilindungi di samping mampu menghindari perbuatan penyelewengan dan rasuah dalam kalangan kakitangan awam dan swasta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan berkata kerajaan sentiasa melaksanakan kajian teliti terhadap perundangan-perundangan sedia ada dalam membuat penambahbaikan supaya kepentingan awam dan negara dapat diseimbangkan.

“Kerajaan sentiasa mengkaji perundangan-perundangan sedia ada dari semasa ke semasa termasuk Akta Rahsia Rasmi untuk dibuat penambahbaikan.

“Ini penting kerana satu undang-undang dibuat itu mempunyai tujuan tertentu tapi pada masa sama saya akui seperti Yang Berhormat sebut, kepentingan awam juga penting.

“Atas sebab itu, saya merasakan kerajaan tidak mempunyai masalah terutamanya jika sekiranya pandangan-pandangan diberikan oleh golongan masyarakat sivil, untuk kita menambah baik perundangan-perundangan sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan, R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) jika kerajaan berhasrat untuk melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat dalam menjaga informasi berkaitan dalam negeri dan negara dilindungi.

Bertanya sama ada kerajaan akan melaksanakan satu dasar rasmi untuk menubuhkan sistem dan prosedur untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat, Takiyuddin memaklumkan akta tersebut telah pun dilaksanakan pada tahun 2010 yang dikenali sebagai Akta Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711)

“Skop pelaksanaan Akta 711 ini melibatkan sektor awam dan sektor swasta sepertimana yang diperuntukan dalam Seksyen 2 Akta tersebut. Pelindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat adalah melalui agensi penguat kuasa.

“Dan dalam hal ini agensi penguat kuasa yang dimaksudkan merangkumi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, imigresen, polis, kastam dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

Pemberi maklumat akan diberikan pelindungan berkaitan maklumat sulit termasuk maklumat identiti, alamat dan pekerjaan.

“Yang kedua, kekebalan atau imuniti daripada tindakan sivil dan jenayah dan ketiga pelindungan daripada tindakan yang memudaratkan iaitu terhadap diri pemberi maklumat itu.”