- Iklan -
Berita

Kementerian wanita laksana pelbagai inisiatif tangani krisis jiwa akibat Covid-19

Talian Kasih merangkumi semua aspek melibatkan kumpulan sasar di KPWKM.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
KPWKM menyediakan pelbagai inisiatif menangani krisis jiwa dan mental akibat Covid-19.
KPWKM menyediakan pelbagai inisiatif menangani krisis jiwa dan mental akibat Covid-19.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sudah mengambil pelbagai inisiatif bagi menangani krisis jiwa dan mental yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat sekarang berikutan penularan wabak Covid-19 di Malaysia, kata menterinya Rina Harun.

Katanya, antara langkah diambil kementerian termasuklah dengan menyediakan beberapa inisiatif seperti menyediakan khidmat aduan dalam talian dengan menghubungi Talian Kasih 15999 atau aplikasi WhatsApp di nombor 019-2615999.

“Perkhidmatan ini beroperasi 24 jam setiap hari yang mana talian ini berfungsi sebagai ‘single point of contact’ kepada semua masyarakat untuk mengemukakan sebarang pertanyaan, aduan mahupun permohonan.

“Skop perkhidmatan Talian Kasih merangkumi aspek berkaitan penderaan, kaunseling, gelandangan, perlindungan, kebajikan, talian kanak-kanak, pembuangan bayi, perkhidmatan kesihatan reproduktif, masalah sosial remaja dan perkara yang melibatkan kumpulan sasar kementerian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan, Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang mahu tahu bagaimana kerajaan menangani krisis jiwa dan mental yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat yang tertekan kerana kehilangan pendapatan, berjauhan daripada keluarga dan kegelisahan kesan daripada wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Rina berkata kementerian juga menyediakan sokongan psikologi tele-kaunseling bagi memberi perkhidmatan kaunseling dan psikologi kepada mereka yang terkesan daripada penularan wabak Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya Talian Khas Kaunseling atau perkhidmatan tele-kaunseling ini melibatkan 528 orang kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

“Kita juga memberikan bantuan sokongan ekonomi menerusi peruntukan Program Bantuan Bakul Makanan RM47.43 juta dibelanjakan oleh KPWKM untuk membuat agihan bakul makanan kepada 820,723 Ketua Isi Rumah (KIR) yang melibatkan 3.2 juta Ahli Isi Rumah (AIR) di seluruh negara sehingga November 2020.

“Kita juga mempercepatkan bayaran bantuan kewangan bulanan persekutuan oleh JKM yang berjumlah RM1.5 bilion untuk menampung keperluan 498,935 penerima bantuan sehingga Oktober lalu.”

Kementerian juga mengecualikan proses kaji semula bantuan dan melanjutkan bantuan kewangan bulanan persekutuan secara automatik kepada semua penerima bantuan sedia ada di seluruh negara.

“Kita juga memberikan bantuan khas ibu tunggal di bawah Penjana yang menerima RM300 seorang secara sekali beri atau one off kepada 150,000 orang ibu tunggal yang layak di seluruh negara.

Katanya Talian Khas Kaunseling atau perkhidmatan tele-kaunseling ini melibatkan 528 orang kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

“Kementerian juga sudah menyalurkan bantuan khas orang kurang upaya (OKU) di bawah Penjana kepada 188,000 OKU yang berdaftar dan menerima bantuan JKM RM300 seorang secara one off dengan keseluruhan peruntukan RM56.4 juta.”

Tambahnya kementerian juga melaksanakan program khidmat bantu di rumah (home help services) yang bercorak reaching out kepada warga emas sepanjang tempoh penularan pandemik Covid-19.

“Kita juga membenarkan pengoperasian taska di zon yang dibenarkan sepanjang tempoh PKP serta melaksanakan program berbentuk advokasi seperti panduan menangani tekanan perasaan, aktiviti kekeluargaan secara maya dan panduan penjagaan kesihatan melalui pelbagai medium seperti media sosial, media elektronik dan media cetak dalam menangani isu tekanan mental.”

Katanya, semua itu perlu berikutan kajian dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) pada bulan September 2020 menunjukkan 74.5% daripada 3,500 responden bersetuju bahawa PKP memberi kesan kepada kesihatan mental.

Malah katanya kajian KPWKM mendapati sokongan sosial antara mekanisme untuk mengurangkan kadar tekanan yang dihadapi oleh mereka yang terkesan secara langsung oleh ancaman pandemik Covid-19.