- Iklan -
Berita

Top Glove diarah saring lebih 2,000 pekerja tinggal luar kawasan PKPD

Langkah itu bagi mengelak penularan wabak tersebut di kawasan komuniti.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kelihatan petugas kesihatan membuat saringan ke atas pekerja Top Glove di asrama pekerja di Meru, Klang pada 23 November lalu. Gambar: Bernama
Kelihatan petugas kesihatan membuat saringan ke atas pekerja Top Glove di asrama pekerja di Meru, Klang pada 23 November lalu. Gambar: Bernama

Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) diarah melakukan  saringan Covid-19 ke atas 2,263 pekerjanya yang tinggal di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu bagi mengelak penularan wabak tersebut di kawasan komuniti.

“Sebelum ini, mereka ada asrama pekerja lelaki serta perempuan dan rumah yang disewa di kawasan yang dikenakan PKPD tetapi ramai juga pekerja tinggal di tempat lain. Jadi kita sudah arahkan syarikat buat saringan kepada pekerja ini dan dikuarantin.

Penduduk di kawasan sekitar tidak perlu bimbang sebab pekerja Top Glove disaring dan ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kesemua pekerja Top Glove yang positif Covid-19 dihantar ke hospital manakala yang negatif dikuarantin di hotel yang telah ditetapkan iaitu Hotel Gold Coast, Kelang Sentral dan stadium di Pandamaran.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sebuah pasukan petugas diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Dearah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

“Pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pasukan Task Force khas yang ditubuhkan akan sentiasa memantau dan membuat penilaian dari semasa ke semasa.

Penduduk di kawasan sekitar tidak perlu bimbang sebab pekerja Top Glove disaring dan ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Kerajaan juga mengarahkan 28 kilang syarikat itu ditutup secara berperingkat bagi membolehkan pekerja menjalani saringan serta proses kuarantin dan sehingga semalam 20 kilang ditutup, tujuh kilang ditutup hari ini dan satu lagi kilang akan menyusul (ditutup),” katanya.

Beliau berkata sehingga 24 November, sebanyak 5,795 ujian saringan dilakukan daripada 11,215 jumlah keseluruhan pekerja dan seramai 2,684 kes positif di kawasan PKPD direkodkan.

“Semalam, jumlah kumulatif kes di seluruh negara adalah sebanyak 2,188 dan daripada jumlah itu, 1,623 kes direkodkan di Selangor dan sebanyak 1,511 merupakan kes positif Covid-19 daripada kluster yang melibatkan kilang Top Glove.

Jumlah kes di kilang Top Glove merupakan penyumbang jumlah tertinggi kes Covid-19 di Selangor dan seluruh negara,” katanya.