- Iklan -
Berita

Kementerian pertahanan cadang ‘hidupkan semula’ PLKN

PLKN terbukti beri kesan baik kepada pembentukan patriotisme remaja yang menyertai program berkenaan.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berkumpul di KLIA 2. Gambar: AFP
Gambar fail menunjukkan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berkumpul di KLIA 2. Gambar: AFP

Kementerian Pertahanan akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi membolehkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) “dihidupkan semula” pada masa depan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, PLKN dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas sebab-sebab tertentu.

Beliau berkata, disebabkan kesan baik kepada pembentukan patriotisme remaja yang menyertai program berkenaan, maka kementerian pertahanan akan mencadangkan kepada Kabinet agar program ini dilaksanakan semula.

“YB Arau pula membangkit isu jurulatih-jurulatih kontrak PLKN yang ditamatkan kontrak mereka dan mencadangkan diserapkan dalam perkhidmatan di kementerian-kementerian atau agensi kerajaan yang lain.

“Untuk makluman YB Arau, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan pelantikan kontrak secara ‘soft landing’ kepada 1,394 orang bekas pegawai lantikan kontrak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan ditempatkan di pelbagai Agensi/Kementerian bagi tempoh satu tahun mulai 2019 sehingga 2020,” katanya dalam penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Shahidan Kassim (BN-Arau) yang bertanyakan kenapa program PLKN dihentikan dan mencadangkan agar program ini dapat diteruskan semula serta nasib kakitangan dan jurulatih PLKN selepas program berkenaan dimansuhkan PH.

Mengulas lanjut, Ismail berkata tujuan pelantikan terbabit ialah bagi memberi peluang kepada pegawai terlibat untuk menampung sara hidup mereka sebelum mendapat pekerjaan lain.

“Bagi cadangan YB Arau agar pegawai-pegawai ini diserapkan ke dalaman kementerian atau agensi kerajaan yang lain, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak berkuasa melantik.”

Menjawab isu dibangkitkan, Ahmad Fadhil Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai status perolehan enam aset Littoral Combat Ship (LCS) atau kapal tempur pesisir pantai, Ismail mengesahkan secara keseluruhnya pembinaan sudah mencapai 57.01% berbanding perancangan asal sepatutnya 90.11% iaitu kelewatan sebanyak 33.10%.