- Iklan -
Berita

Kerajaan belum putuskan lanjutan tempoh konsesi PLUS

Perjanjian PLUS sedang diteliti kerana membabitkan isu tol dan banyak perkara sensitif perlu dipertimbangkan.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
PLUS Malaysia Berhad. Gambar: Facebook
PLUS Malaysia Berhad. Gambar: Facebook

Keputusan untuk melanjutkan tempoh konsesi PLUS Malaysia Bhd selama 38 tahun lagi sehingga 2058 seperti yang diumumkan kerajaan PH (Pakatan Harapan) pada Januari lalu belum dimuktamadkan lagi, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata kerajaan masih meneliti isu terbabit kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan.

“Perjanjian mengenai PLUS sedang diteliti kerana dalam isu membabitkan tol, banyak perkara sensitif perlu dipertimbangkan seperti kenaikan harga (tol) dan tempoh konsesi.

“Ini perlu diimbangi dengan beban hutang kerajaan termasuk beban rakyat dan tanggungan (syarikat) konsesi.

“Perjanjian dengan PLUS ini dalam perbincangan dan belum diputuskan setakat hari ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Eddin menjawab soalan daripada Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan mengkaji semula keputusan dibuat kerajaan terdahulu melanjutkan tempoh konsesi PLUS dan apakah perjanjian mengenainya sudah ditandatangani.