- Iklan -
Berita

298 sekolah di PJ, Shah Alam, Subang Jaya tutup mulai esok

Daerah Petaling sudah disahkan sebagai zon merah Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
KPM mengarahkan 298 sekolah di daerah Petaling yang melibatkan Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam ditutup mulai esok.
KPM mengarahkan 298 sekolah di daerah Petaling yang melibatkan Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam ditutup mulai esok.

Susulan gelombang baru Covid-19 yang menyaksikan kes tiga angka hampir setiap hari di Malaysia, semua sekolah di zon merah daerah Petaling di Selangor akan ditutup bermula esok hingga 25 Oktober, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kawasan-kawasan yang berada dalam daerah Petaling adalah Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam.

“Selaras dengan perutusan khas perdana menteri pada 6 Oktober 2020 berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), KPM memaklumkan bahawa semua sekolah di kawasan zon merah di Petaling, Selangor, akan ditutup bermula 12 Oktober 2020 sehingga 25 Oktober 2020,” kata KPM dalam satu kenyataan petang ini.

“Ini melibatkan sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling. Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM”.

Menurut KPM, sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup dan ibu bapa atau penjaga disarankan mengambil anak mereka yang tinggal di asrama untuk pulang.

KPM berkata, ibu bapa, penjaga dan warga sekolah boleh menyemak kemas kini senarai sekolah yang terlibat dengan penutupan itu di portal KPM di www.moe.gov.my serta di platform media sosial rasmi.

KPM berkata, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid mahu terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama dengan keperluan makan dan minum mereka akan disediakan oleh pihak sekolah.

“Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” katanya.

Untuk melihat senarai 298 sekolah di daerah Petaling yang ditutup, klik di sini.