- Iklan -
Berita

Muhyiddin tidak langgar arahan KKM, kata PMO

Ujian saringan Covid-19 yang dilakukan 5 Oktober lalu terhadap Muhyiddin disahkan negatif semalam.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Pejabat Perdana Menteri (PMO), menafikan dakwaan pihak tertentu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak memakai gelang pengawasan ketika sidang media khasnya semalam.

Menurut satu kenyataan media PMO, menjelaskan perdana menteri tidak diberikan gelang pengawasan oleh KKM.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh pegawai KKM pada 5 Oktober, perdana menteri dinasihatkan supaya menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah selama 14 hari menggunakan ‘home assessment tool’ (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Sehubungan itu beliau tidak dikehendaki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan. Justeru, dakwaan perdana menteri melanggar arahan KKM adalah tidak benar,” kata PMO dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, PMO juga menjelaskan keputusan ujian saringan Covid-19 yang dilakukan 5 Oktober lalu ke atas Muhyiddin juga disahkan negatif, semalam.

Selain itu, Muhyiddin juga menjalani tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu 22, 26 dan 29 September lalu dan semua keputusan didapati negatif.

“Bagaimanapun, perdana menteri juga dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa tempoh pemantauan berkenaan.

“Setakat ini keadaan kesihatan perdana menteri adalah baik. Walaupun begitu beliau akan terus melakukan kuarantin kendiri sehingga tempoh 14 hari seperti ditetapkan oleh KKM,” katanya.