- Iklan -
Berita

100 kakitangan kompleks Seri Negeri Melaka jalani ujian Covid-19

Sehingga kini, menurut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, negeri ini merekodkan lima kes aktif Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kompleks Seri Negeri  Gambar: Melaka Hari Ini
Kompleks Seri Negeri Gambar: Melaka Hari Ini

Kira-kira 100 kakitangan kompleks Seri Negeri di Melaka, menjalani ujian calitan saringan Covid-19 selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) disahkan positif jangkitan itu, Rabu lepas.

Setiausaha Kerajaan negeri Hasim Hasan berkata saringan itu diadakan di Klinik Seri Negeri di sini oleh Hospital Pakar Putra Melaka, Jumaat lepas.

“Individu yang menjalani ujian calitan itu termasuk Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, diri saya, semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dan keputusan ujian calitan bagi kesemuanya adalah negatif,” katanya kepada Bernama di Melaka, hari ini.

Beliau berkata pusat pentadbiran kerajaan negeri dan kediaman rasmi ketua menteri di Seri Bendahara, kini sudah kembali beroperasi seperti biasa hari ini, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, Tinjauan Bernama di kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh mendapati pintu masuk utama ke bangunan berkenaan dikawal seperti biasa oleh pengawal keselamatan dan mereka melakukan pemeriksaan suhu badan terhadap kakitangan serta orang awam.

Khamis lepas, media melaporkan kompleks Seri Negeri dan kediaman rasmi ketua menteri ditutup sementara bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan pencegahan awal Covid-19 di kawasan berkenaan, susulan seorang Adun disahkan positif Covid-19.

Untuk rekod, Adun terlibat mendakwa ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atasnya di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah sejurus pulang dari Sabah pada 26 September lepas adalah negatif namun empat hari kemudian iaitu pada 30 September, pihak PKD Alor Gajah menghubunginya dan memaklumkan beliau positif Covid-19.

Sehingga kini, menurut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, negeri ini merekodkan lima kes aktif Covid-19.