- Iklan -
Berita

Bekas menteri undang-undang, VK Liew meninggal dunia

Liew mendapatkan rawatan di Hospital Gleanegles atas jangkitan radang paru-paru.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri undang-undang dan ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong.
Bekas menteri undang-undang dan ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong meninggal dunia 11.40 pagi tadi di Hospital Gleanegles, Kota Kinabalu.

Mendiang yang berusia 60 tahun menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital tersebut.

Difahamkan, Liew dimasukkan ke Hospital Gleneagles Kota Kinabalu selepas mendapat jangkitan radang paru-paru.

Liew yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) sempat turun berkempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Liew menang bergaya apabila berjaya merampas kerusi Parlimen Batu Sapi di bawah tiket Warisan daripada calon PBS, Linda Tsen Thau Lin dengan majoriti 4,619 undi.

Sebelum ini juga, Liew pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri perdagangan  antarabangsa dan industri dalam kerajaan terdahulu ketika di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Kabinet bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 2009 hingga 2013.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) sejak 2006 hingga 2014 itu menjadi ahli Parlimen Sandakan selepas menang dalam pertandingan tiga penjuru pada PRU12 atas tiket Barisan Nasional (BN), namun usahanya untuk mempertahankan kerusi itu pada PRU13 gagal setelah tewas kepada calon DAP Stephen Wong Tien Fatt.

Karier politiknya bertambah buruk pada 2014 apabila tersepit dalam kemelut perebutan jawatan presiden LDP, yang merupakan parti komponen BN ketika itu, apabila Teo Chee Kang dipilih untuk memimpin parti berkenaan selepas Liew mengambil alih tampuk kepimpinan parti daripada Chong Kah Kiat pada 2006.

Namun, Liew mendapat semangat dan talian hayat baru dalam karier politiknya dengan meninggalkan LDP dan memilih untuk bersama Warisan pimpinan Mohd Shafie Apdal.