- Iklan -
Berita

Apakah perbicaraan rasuah Guan Eng bakal melemahkan DAP?

DAP sering dilihat kukuh dan menjadi pilihan utama masyarakat Cina bandar.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Kemungkinan “bintang DAP” Lim Guan Eng yang berdepan pertuduhan jenayah kewangan didapati bersalah berupaya merosakkan reputasi parti yang dilihat paling stabil selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di mana mereka merupakan sebahagian daripada gabungan itu.

DAP sering dilihat sebagai pilihan utama sebahagian besar masyarakat Cina bandar. Krisis dan konflik dalam setiap gabungan yang pernah disertainya dalam tempoh dua dekad ini menyaksikan parti itu kembali ke landasan sokongan tradisionalnya.

Tetapi, keadaan itu boleh berubah dengan penahanan Lim yang merupakan bekas menteri kewangan selama 22 pada bulan Ogos lalu. Malah, butiran yang tersebar dan disiarkan di media sosial mengenai kes-kes tersebut dikatakan boleh menjadi kes rasuah terbesar pada tahun 2020.

Penganalisis berpangkalan Singapura Oh Ei Sun memberitahu MalaysiaNow tindakan undang-undang terhadap Lim menguatkan lagi naratif yang sering digambarkan kepada orang Melayu bahawa DAP adalah parti korup.

“Ini (pendakwaan terhadap Lim) memberikan kesan positif kepada politik orang Melayu. Ia mengukuhkan dakwaan Umno yang selama ini mengatakan DAP korup,” kata bekas setiausaha politik kepada bekas perdana menteri, Najib Razak kepada MalaysiaNow.

Oh berkata, parti itu perlu memperkukuh sokongan bukan Melayu untuk memastikan mereka terus bertahan dalam setiap pilihan raya.

Lim berdepan tuduhan meminta rasuah dan salah guna kuasa ketika berkhidmat sebagai ketua menteri Pulau Pinang bagi projek kontroversi terowong bawah laut di negeri itu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM melibatkan meminta dan menerima rasuah atau ganjaran sementara Seksyen 23 melibatkan salahguna kuasa untuk kepentingan diri.

Kes-kes beliau dibuang ketika menjadi menteri kanan dalam kerajaan PH, kemudian dibuka semula selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.

Terowong sejauh 7.2km itu akan menjadi laluan bawah laut pertama di Malaysia yang akan menghubungkan Butterworth di seberang pulau ke George Town di pulau itu. Pembinaan itu dilakukan secara bersama antara kerajaan negeri dan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Pada Februari 2013, kerajaan Pulau Pinang dipimpin DAP mengeluarkan surat niat kepada sebuah syarikat konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd untuk melaksanakan projek infrastruktur secara besar-besaran.

Pembangunan yang komprehensif tersebut merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan negeri umengurangkan kesesakan lalu lintas dan untuk memperbaiki sosio-ekonomi. Antara pembida lain termasuk IJM Corp Bhd, WCT Holdings Bhd dan Gamuda Bhd.

Sebagai pampasan kerana membina terowong dan jalan pintas, Zenith BUCG akan mendapat konsesi tol selama 30 tahun, serta menerima tanah seluas 110 ekar yang ditambak, dengan saluran berasal dari pembangunan Eastern & Oriental Bhd (E&O) Sri Tanjung Pinang 2 ( STP2).

Sebanyak 50 ekar tanah terletak di sepanjang jalan pantai menuju Gurney Drive sementara 60 ekar selebihnya akan terletak di pulau buatan manusia.

Pengkritik menudah Lim berkeras meneruskan projek walaupun terdapat bantahan aktivis alam sekitar.

Pada 2014, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, pengerusi Consortium Zenith, mengatakan kajian kebolehlaksanaan terowong bawah laut akan memakan masa sekitar setahun untuk diselesaikan kerana ia adalah “isu sensitif terhadap alam sekitar yang mana kita perlu mendapatkan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar yang Terperinci (DEIA)” .

Kos kajian kebolehlaksanaan harus dibayar melalui perjanjian pertukaran tanah, dilaporkan RM305 juta.

Walaupun kerajaan negeri berulang kali mengatakan negeri satu sen pun tidak dibayar, pada Januari 2018, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Lim Hock Seng mengakui sebanyak RM208 juta dibayar untuk kajian kebolehlaksanaan dan rekabentuk jalan.

Pembayaran tersebut dilakukan melalui pemindahan dua bidang tanah pegangan bebas utama di Seri Tanjung Pinang kepada Consortium Zenith.

Kos untuk menghasilkan laporan untuk jalan berpasangan sederhana 10km dibayar dengan kos pembinaan RM377 juta walaupun kos sebenar dikatakan adalah RM208 juta.

Sementara kos untuk membina terowong bernilai RM3.6 bilion walaupun kos sebenar adalah RM97 juta.

Pada Januari 2018, Lim selaku ketua menteri Pulau Pinang mengatakan kajian kebolehlaksanaan terowong itu sudah selesai 92%. Namun sehingga Ogos, kajian tersebut masih belum dapat dilihat.

Pengkritik membangkitkan di sebalik itu, blok kondominium dengan nilai pembangunan kasar RM800 juta dan Wellness City of Dreams di Bandar Tanjong Pinang, dengan nilai pembangunan kasar RM15 bilion, sudah kelihatan di tanah yang diberikan sebagai pampasan kepada kajian terowong.

Pengkritik juga mengatakan projek itu tidak diberikan melalui Permohonan Cadangan (RFP) akan tetapi kerajaan Pulau Pinang bertegas projek tersebut melalui proses tender terbuka.

Dalam tender terbuka, syarikat akan membida untuk projek dengen spesifikasi ditetapkan pemberi projek.

Dalam RFP, pemberi projek tidak memberikan apa-apa rancangan atau spesifikasi projek kepada pihak yang membuat tawaran. Pemberi projek hanya mempunyai idea kasar, membiarkan pembida mengemukakan cadangan yang berbeza.

Disebabkan itu, pengkritik mengatakan oleh kerana Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dilakukan melalui RFP, orang ramai tidak mempunyai cara untuk membandingkan cadangan.

Satu set dokumen siasatan terhadap Lim yang mengandungi pertuduhan rasuah secara terperinci terbocor dan SPRM kemudiannya mengesahkan dokumen itu sebagai asli.

Pemimpin DAP negeri masih belum memberikan komen terhadap dokumen bocor tersebut.

Persoalannya mengapa Consortium Zenith membayar RM19 juta secara tunai kepada orang tengah pada 2017 sebagai percubaan menghentikan siasatan SPRM.

Walaupun mengaku terlibat memberikan rasuah, Consortium Zenith masih belum didenda kerana gagal mengikut tempoh dipersetujui untuk menyiapkan projek.

Nur Hasliza Mohd Salleh turut menyumbang dalam laporan ini.