- Iklan -
Berita

Tak bertanding PRN, Musa Aman mungkin sasarkan TYT Sabah

Walaupun tidak bertanding PRN Sabah, bekas ketua menteri itu diiktiraf sebagai berpengaruh dalam politik.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman (kanan) bersama calon Pakatan Nasional bagi Dewan Undangan Klias Isnin Aliasnih pada majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri pada 17 Sept lalu. Gambar: Bernama
Bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman (kanan) bersama calon Pakatan Nasional bagi Dewan Undangan Klias Isnin Aliasnih pada majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri pada 17 Sept lalu. Gambar: Bernama

Spekulasi bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman bakal menjadi Yang di-Pertua (TYT) dipandang serius musuh-musuh politiknya.

Sekiranya khabar angin ini benar, ia akan mendatangkan masalah kepada Mohd Shafie Apdal walaupun menang dalam pilihan raya pada Sabtu ini.

Spekulasi bertambah kencang berhubung perkara ini selepas Musa tidak diumumkan bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada hari penamaan calon pada 12 Sept lepas.

Akan tetapi Musa, 69, yang pernah menjadi ketua menteri Sabah selama 15 tahun sebelum dinafikan akibat penyokongnya belot dan melompat menyertai Warisan selepas pilihan raya 2018 dikenali sebagai “pejuang tidak mudah mengalah”.

“Beliau bukanlah seorang yang mudah mengalah tanpa melawan, terutamanya selepas dibebaskan daripada semua pertuduhan rasuah yang sebelum ini menjadi penghalang kepadanya untuk kembali berkuasa,” kata seorang sekutunya kepada MalaysiaNow di Kota Kinabalu.

Kedudukan TYT yang dahulunya dikenali sebagai gabenor, dilantik oleh Yang Dipertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Kerajaan Malaysia di negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan.

Menurut perlembagaan Sabah, pelantikan TYT adalah selama empat tahun akan tetapi boleh disingkirkan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dipersetuji oleh Yang Dipertuan Agong.

Kemenangan singkat

Musa yang berketurunan Pakistan, Melayu dan Dusun adalah seorang ahli perniagaan sebelum menyertai politik, dan mempunyai syarikat besar di negeri Borneo itu semasa berumur 20 an. Nama beliau melonjak naik selepas Barisan Nasional (BN) menawan kembali Sabah pada 1995.

Beliau merupakan salah seorang pemimpin BN yang berjaya mempertahankan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pilihan raya 2018 selepas mendapat sokongan daripada 31 daripada 60 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Akan tetapi kemenangan Musa tidak kekal lama selepas lima Adun Upko melompat menyokong Warisan, 48 jam selepas Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan TYT Juhar Mahiruddin.

Juhar kemudiannya mengisytiharkan Shafie mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

Langkah tersebut menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan dan Musa menyeret Juhar dan Shafie ke mahkamah. Akan tetapi apa yang berlaku beberapa minggu selepas itu mengubah nasib politiknya.

Musa melarikan diri ke negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan apabila pihak berkuasa mahu menahannya disebabkan siasatan kes rasuah.

Selepas kembali ke negara pada penghujung 2018, Musa didakwa dengan 46 kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau dibebaskan daripada semua pertuduhan pada pertengahan Jun tahun ini, dan tidak lama selepas itu, Musa memulakan gerakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Shafie.

Akan tetapi apabila Musa tidak muncul semasa hari penamaan calon lalu, spekulasi muncul bekas ketua menteri itu mengidamkan sesuatu lebih besar.

“Musa adalah seorang pemimpin kuat yang Sabah tidak punyai untuk sekian lama. Penggiliran ketua menteri pada masa lalu bagi memberikan peluang kepada kumpulan etnik berbeza tidak dapat melahirkan pemimpin sepertinya. Musa juga berjaya duduk di tampuk kuasa selama 15 tahun,” kata seorang bekas Adun Umno.

Ketua menteri jadi TYT

Apakah Musa akan mengulangi sejarah bekas ketua menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud yang dilantik menjadi TYT selepas meletakkan jawatan?

Ia bukanlah sesuatu perkara yang asing di Sabah. Empat daripada 10 TYT Sabah merupakan bekas ketua menteri seperti: Mustapha Harun, Fuad Stephens, Mohamad Said Keruak dan Sakaran Dandai.

Tidak mustahil bagi Musa kerana beliau sudah dibebaskan daripada semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Sekiranya ini berlaku, ia akan memberikan tamparan hebat kepada Juhar yang sudah menjadi TYT selama hampir dua dekad.

Perseteruan Musa dan Juhar sudah menjadi pengetahuan umum. Juhar sudah dua kali menghalang cita-cita politik Musa, pertama selepas pilihan raya 2018 dan sekali lagi apabila bersetuju untuk membubarkan DUN baru-baru ini.

Pada ketika ini, masih lagi ditahap spekulasi bahawa Musa akan diangkat menjadi TYT.

“Tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil,” kata seorang pemimpin Sabah yang menyokong Perikatan Nasional (PN).