- Iklan -
Berita

RM5 juta sumbangan untuk Najib, BN, kata bekas pembantu Rosmah

Perkara berkenaan dicadangkan peguam bela dalam perbicaraan Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi, dan dipersetujui saksi pendakwaan ke-21,Rizal Mansor.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Polis tidak dibawa untuk lindungi bosnya, kata Rizal Mansor. Gambar: Facebook
Polis tidak dibawa untuk lindungi bosnya, kata Rizal Mansor. Gambar: Facebook

Wang RM5 juta yang diterima daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin berhubung projek solar hibrid di Sarawak adalah “sumbangan politik” kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN), Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Perkara berkenaan dicadangkan peguam bela dalam perbicaraan Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi, dan dipersetujui saksi pendakwaan ke-21,Rizal Mansor.

Terdahulu, bekas pegawai khas Rosmah itu bersetuju dengan peguam Jagjit Singh bahawa RM5 juta yang disifatkannya sebagai “sumbangan politik” tidak dimaksudkan untuk isteri bekas perdana menteri itu.

Jagjit: Adakah kamu setuju ia (RM5 juta) diperuntukkan kepada Najib untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.

Rizal: Betul.

Jagjit: Sumbangan yang diminta dan diterima daripada Jepak, Saidi dan Rayyan (rakan kongsi Saidi – Rayyan Radzwill Abdullah) disalurkan menerusi anda, kemudian Rosmah dan akhirnya diberikan kepada Najib.

Rizal: Saya tidak boleh mengesahkannya.

Jagjit: Tapi dalam keterangan, kamu menyatakan ia adalah sumbangan politik untuk Najib.

Rizal: Tujuan untuk Najib, ya. Dari segi pelaksanaannya, saya tidak dapat mengesahkan.

Semalam, saksi utama pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa Jepak berhasrat untuk memberi sumbangan kepada Najib sebagai penghargaan kepada bekas perdana menteri itu dalam membantu syarikat itu memperoleh projek solar hibrid serta bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.

Mengenai RM500,000 yang diterimanya daripada Saidi dan Rayyan pada Disember 2016, Rizal yang diletakkan di bawah program perlindungan saksi, berkata pada awalnya beliau tidak tahu wang itu adalah sebahagian daripada pembayaran RM5 juta.

Rizal: (Berkenaan RM500,000) dia (Saidi) cuma cakap nak datang (rumah) melalui telefon dan dia sebut dia cuma nak serahkan “durian musang king” yang saya faham apa maksud “durian musang king” itu.

Jagjit: Jadi (musang king) itu isyarat untuk wang korup. Kamu tahu mereka (Saidi dan Rayyan) datang ke rumah kamu untuk menyerahkan “musang king”, wang korup.

Rizal: Ya.

Rizal bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit bahawa beliau memberi keterangan palsu berhubung RM5 juta yang dihantar ke kediaman rasmi Rosmah di Kompleks Seri Perdana pada Disember 2016, hari yang sama beliau menerima RM500,000.

Saksi itu, yang dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi dirinya dan Rosmah berhubung projek pembekalan dan pemasangan solar hibrid pada 8 Jan, juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau telah mengambil wang RM5 juta itu.

Jagjit: Saya katakan kepada kamu, keterangan kamu (bahawa RM5 juta dihantar ke Seri Perdana) merupakan keterangan palsu kerana Rosmah tidak berada di Sri Perdana sebaliknya di Langgak Duta (rumahnya).

Rizal: Saya tidak setuju.

Jagjit: Apabila kamu menerima RM500,000, ia adalah bonus kepada kamu, RM5 juta ditambah RM500,000. Kamu “kebas” duit (RM5 juta), itu yang sebenarnya.

Rizal: Saya sangat tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan ditangguhkan sehingga Khamis ini selepas peguam itu memaklumkan mahkamah bahawa Rosmah sakit gigi dan perlu berjumlah doktor.

Rosmah, 68, didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.