- Iklan -
Berita

Tiada keperluan hantar tentera ke hospital Cox’s Bazar

Menurut Affendi, keadaan kini berbeza kerana, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menyumbang dan menyediakan kemudahan kesihatan di kem pelarian itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
PAT berkata, tiada keperluan untuk menghantar anggota ATM ke Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar di Bangladesh. Gambar: Facebook
PAT berkata, tiada keperluan untuk menghantar anggota ATM ke Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar di Bangladesh. Gambar: Facebook

Tiada keperluan mendesak untuk menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh selepas pengoperasiannya ditamatkan kerajaan, susulan penularan wabak Covid-19.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Affendi Buang berkata langkah itu berikutan kemudahan kesihatan serba lengkap sudah dibina di kawasan berkenaan.

“Dulu masa tentera Malaysia diletakkan di situ, tak banyak negara yang menghulurkan bantuan kemudahan perkhidmatan kesihatan dan sebab itulah Hospital Medan dibina serta diambil alih oleh kami.

“Hospital Medan ini bertindak sebagai barisan hadapan kesihatan pada masa itu. Biarpun ia terhad, namun mencukupi dalam menangani masalah kesihatan ketika itu,” katanya kepada Bernama di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur.

Menurut Affendi, keadaan kini berbeza kerana, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menyumbang dan menyediakan kemudahan kesihatan di kem pelarian itu.

“Sekarang semua kemudahan itu semakin bertambah dan sudah sampai masa khidmat tentera kita  (ATM) tidak lagi diperlukan di situ. Jika diikutkan, boleh saja kekal berada di situ, namun tiada fungsi kritikal diperlukan lagi di sana,” katanya dan menambah khidmat ATM diperlukan ketika itu berikutan isu pelarian yang melanda negara berkenaan.

“Pada Jun lepas, kerajaan membuat keputusan supaya pengoperasian tentera di Hospital Medan di Bangladesh ditamatkan sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

“Kesemua tentera di sana pulang dan penilaian turut dibuat daripada segi sama ada masih relevan untuk dikerahkan anggota ke situ apabila wabak ini berakhir,” katanya.

Hospital Medan Malaysia di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh, diwujudkan pada Disember 2017 bagi menampung keperluan rawatan kesihatan kepada ratusan ribu pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri ke tenggara Bangladesh ekoran konflik di barat Myanmar.