- Iklan -
Kandungan Berjenama

Usaha kerajaan ganti lif usang PPR jadi berita baik 'dambaan' penduduk

Beberapa penduduk menyifatkan usaha kerajaan perpaduan ini sebagai memberi sinar baharu dalam kehidupan harian dan keluarga.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk memasuki lif di projek perumahan kos rendah di ibu kota Kuala Lumpur.
Penduduk memasuki lif di projek perumahan kos rendah di ibu kota Kuala Lumpur.

Usaha kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk membaik pulih lif-lif usang di kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi menjaga keselamatan penduduk, menjadi berita baik dan bahan bualan dalam kalangan penghuni PPR. 

Tinjauan MalaysiaNow ke beberapa unit PPR di Lembah Klang mendapati inisiatif itu sudah lama didambakan oleh seluruh pihak yang bukan sahaja menetap bahkan mereka yang mengunjungi kawasan perumahan tersebut hampir setiap hari.

Mereka termasuk penghantar makanan, petugas kesihatan, dan ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan pengasuh kanak-kanak dalam kalangan penduduk PPR.

Seorang pekerja swasta, Nur Fatiah Ramli berkata sudah menjadi rutin untuk dia menghantar dan menjemput kedua-dua anaknya di rumah pengasuh di PPR Seri Malaysia, Kuala Lumpur sejak lebih lima tahun lalu.

Katanya, anak sulungnya dihantar mengasuh di situ sejak berusia 53 hari.

“Saya dan suami ambil giliran, hari ini saya ambil kemudian nanti dia yang akan jemput.

“Yang jadi masalah apabila lif rosak, kami akan jadi lambat ke tempat kerja atau lambat balik ke rumah,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Tambah Fatiah lagi, disebabkan isu lif yang usang dan sering kali ada penyelenggaraan menyebabkan dia perlu naik dan turun tangga ke tingkat 6 sambil mendukung anak keduanya berusia 11 bulan dan membawa beg keperluan bayi berisi susu, lampin, pakaian dan mainan.

“Mujurlah anak sulung dah besar sikit, boleh jalan sendiri tak perlu didukung. Tetapi ada juga masa dia tidur, saya dan suami kena dukung dia naik tangga sampai atas.”

Kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2023 turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM367 juta bagi pembangunan PPR baharu yang bakal memanfaatkan 12,400 penghuni.

Dalam pada itu, seorang penghuni PPR Seri Malaysia yang mahu dikenali sebagai Syakila, menyifatkan usaha kerajaan perpaduan ini sebagai memberi sinar baharu dalam hidupnya dan keluarga.

Ini kerana, mereka sekeluarga berdepan kesukaran apabila ibunya yang berusia 61 tahun disahkan menghidap komplikasi buah pinggang yang memerlukan dia menerima rawatan dialisis di fasiliti kesihatan sebanyak tiga kali seminggu.

Apabila lif-lif yang disediakan tidak dapat berfungsi dengan baik, pergerakan ibunya untuk menerima rawatan menjadi lebih sukar, lebih-lebih lagi dia sudah tidak berupaya untuk berjalan jauh.

“Naik dan turun tangga, langsung tak boleh.

“Bila ada lif yang rosak atau dibaiki, kami akan hantar ibu ke rumah saudara di Ampang.

“Ibu akan menumpang di sana sebab keadaan rumah saudara yang tinggal di rumah teres memudahkan kami untuk membawanya ke hospital,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Syakila sedang menunggu sesi persekolahan Tingkatan Enam bermula dan dia menaruh harapan yang tinggi agar usaha baik pulih lif-lif usang di kediamannya berjalan lancar.

“Apabila lif baharu diganti, ibu bolehlah turun ke bawah dan berkumpul dengan rakan-rakannya.

“Dia boleh bersosial semula dengan jiran-jiran yang sudah lama dia tak jumpa kerana banyak kali menumpang di rumah saudara.

“Ibu pun boleh kembali bersemangat dalam hidupnya dan tak terlalu memikirkan tentang sakitnya,” katanya.

Pada 6 Julai lalu, KPKT meluluskan peruntukan sebanyak RM33.6 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan penyelenggaraan dan penggantian lif di lima PPR.

Ini termasuk PPR Bukit Jalil, Perumahan Awam Desa Rejang, Perumahan Awam Seri Pangkor 1&2 dan Perumahan Awam Seri Terengganu.

Layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat.