- Iklan -
Berita

Abang Jo gesa pemimpin PBB tidak berebut kuasa, terus bersatu

Beliau memberi amaran berhubung perebutan kuasa dan sikap berpuak-puak dalam parti.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abang Johari Openg ketika memberi ucapan di perhimpunan agung triennal parti itu hari ini. Gambar: Bernama
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abang Johari Openg ketika memberi ucapan di perhimpunan agung triennal parti itu hari ini. Gambar: Bernama

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abang Johari Openg hari ini menggesa partinya untuk terus bersatu dan mengelak daripada bergaduh sesama sendiri, mengatakan perpaduan adalah tulang belakang kejayaan parti itu sejak awal penubuhannya.

Abang Johari, yang merupakan premier Sarawak, berkata perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin hanya akan menyebabkan parti itu berpecah-belah.

“Pemimpin bertukar ganti,” katanya dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung triennal parti itu di Kuching.

“Apa yang penting biarlah PBB jadi parti yang kuat di Sarawak.”

Katanya, walaupun parti itu kuat ketika ini, namun persoalan yang perlu dijawab ahli parti ialah berapa lama kedudukan tersebut dapat dipertahankan.

“Kita tengok parti lain ada banyak warlord, bergaduh sesama sendiri lepas itu parti hancur, ” katanya.

“Tetapi Alhamdulillah PBB tidak ada warlord dari awal dulu sampai sekarang,” merujuk pemimpin parti yang mempunyai pengaruh dan kem dalam sesebuah parti politik.

Dalam pada itu, Abang Johari turut berkata ada kemungkinan pemimpin muda tidak mencabar pemimpin yang lebih kanan dalam PBB kerana mereka tahu belum tiba masanya untuk mereka mengambil alih jawatan yang lebih tinggi dalam parti.

“Macam saya, sabar,” tambahnya.

“Kalau Allah dah tentukan anda menjadi pemimpin, anda akan jadi pemimpin. Untuk apa berebut kuasa betul tak?”

Beliau berkata ahli muda dalam PBB akan terus menerima latihan melalui program dalaman parti itu, sambit turut menambah beliau sendiri sudah memasuki usia tua.

“Sebab itu, di peringkat cawangan kita ada youth movement 18 to 28, untuk kita latih,” katanya.

“Ia untuk masa depan anak cucu kita.”